Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melambaikan tangan sebelum meninggalkan perkarangan Hospital Rehabilitasi Cheras untuk ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini. FOTO BERNAMA
Masriwanie Muhamading dan Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menerima menghadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara, tengah hari ini.

Turut mengiringi Anwar, isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut berada di Istana Negara, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar sebelum itu dibenarkan keluar daripada wad Hospital Rehabilitasi Cheras, tempat beliau menjalani proses pemulihan selepas pembedahan.

Difahamkan, beliau akan mengadakan sidang media di rumahnya di Segambut pada 4 petang ini.

Terdahulu, Anwar diberi dan dibenarkan pembebasan serta merta kepada beliau berkuat kuasa mulai dari tarikh persidangan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, hampir 150 teksi hadir di hadapan pintu dua Istana Negara bagi meraikan pembebasan Anwar.

Pengerusi Suara Harapan Pemandu Teksi Semalaysia, Zaidi Maaini berkata, mereka hadir bagi menzahirkan sokongan kepada Anwar di samping meraikan detik pembebasan Anwar.

“Kami selama ini menyokong dan mengikuti perkembangan Anwar, sudah pasti kami tidak akan melepaskan peluang untuk hadir meraikan bebasnya pemimpin kami.

“Hari ini adalah satu hari yang indah, akhirnya Anwar sudah bebas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 1:10 PM