MOHD Irwan Siregar hadir bertemu Majlis Penasihat Kerajaan untuk taklimat hari ini. -Foto BERNAMA
BERNAMA

PEGAWAI kanan pengurusan projek rel mega dan pegawai kerajaan berkaitan dipanggil oleh Majlis Penasihat Kerajaan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Antara yang hadir memberi taklimat itu adalah Timbalan Ketua Pengarah (Sektor) Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Datuk Allauddin Anuar, Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta Datuk Seri Ahmad Husni Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyHSR Corporation Sdn Bhd Datuk Mohd Nur Ismail Mohamed Kamal dan CEO Malaysia Rail Link Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Turut dipanggil adalah Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang juga Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau kini ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam sejak semalam dengan kontraknya sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan tamat pada 14 Jun dan tidak dibenarkan melakukan sebarang tugas membabitkan Kementerian Kewangan.

Selain itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pula membentangkan laporan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara bagi suku pertama 2018.

Turut kelihatan adalah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang.

Hampir semua pegawai kanan yang hadir enggan mengulas hasil pertemuan masing-masing, kecuali pihak pengendali Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Malaysia Rail Link Sdn Bhd yang juga pemilik projek ECRL itu berkata, operasi mereka termasuk bagi projek rel itu berjalan seperti biasa dan pembangunannya mencatat kemajuan sebanyak 14 peratus setakat semalam.

“Majlis Penasihat Kerajaan maklum mengenai perkembangan sepenuhnya setakat ini. Malah tiada sebarang arahan untuk menghentikan ECRL,” kata Ketua Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link, Rosmah Mahmud.

Beliau berkata, pihak majlis itu juga dijangka mengeluarkan kenyataan menjelang akhir minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 10:47 PM