ANGGOTA Bomba memeriksa keadaan lokasi seorang wanita warga emas daripada terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Satria Jaya, BDC, di Kuching. FOTO/IHSAN JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


TINDAKAN pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan wanita warga emas daripada terperangkap dalam kebakaran rumah dua tingkat di Taman Satria Jaya, BDC, Kuching, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.47 malam.

Katanya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi sebelum berjaya mengawal kebakaran pada 10.10 malam.

“Ketika tiba di lokasi, kami dimaklumkan terdapat seorang wanita berusia 65 tahun berada di dalam bilik tidur di tingkat atas rumah berkenaan.

“Anggota bomba bertindak mencari dan menemui mangsa di dalam biliknya lalu segera dibawa keluar dengan selamat,” katanya.

Katanya, kebakaran itu hanya membabitkan bahagian ruang tamu di tingkat bawah, tetapi kepulan asap boleh melemaskan mangsa yang terperangkap di tingkat atas.

“Api berjaya dipadam sepenuhnya pada 10.59 malam dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 11:41 AM