CHUA diberi rawatan awal selepas tiba di jeti KOMTAS. FOTO Ihsan APMM
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membantu menyelamatkan seorang kru bot memancing yang diserang lelah, awal pagi tadi.

Kru bot terbabit, Chua Soon Cho, 44, menghadapi kesulitan apabila mengalami sesak nafas ketika bot berada di kedudukan 19 batu nautika dari Tanjung Po, Kuching.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik bot berkenaan pada jam 4.20 pagi.

"Sejurus aduan diterima, sebuah Kapal Maritim Malaysia iaitu KM Mengalum diatur gerak ke lokasi untuk membantu kru bot pemancing berkenaan.

"Bot pemancing itu ditemui pada jam 6.50 pagi tadi dan mangsa dipindahkan ke KM Mengalum dan segera dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS)," katanya.

Shahref berkata, setibanya di jeti KOMTAS pada jam 7.20 pagi, mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya lagi, tindakan pantas pemilik kapal itu menghubungi APMM berjaya mengelak keadaan kru terbabit bertambah buruk.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mengalami sebarang kecemasan di laut Sarawak, supaya menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 1:24 PM