TAN Sri Annuar Musa. FOTO Malai Rosmah Tuah
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my


KETUA Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa menyerahkan gaji pertamanya sebagai Ahli Parlimen Ketereh kepada 176 individu lantikan politik yang hilang pekerjaan di Ketereh.

Mereka yang menerima bantuan berkenaan termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), guru al-Quran, guru takmir dan mubaligh.

Annuar menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya, berkata beliau berbuat demikian kepada 176 individu di kawasan Parlimen berkenaan yang hilang pendapatan sekelip mata apabila kontrak jawatan mereka ditamatkan.

Katanya, golongan terbabit sudah berkhidmat hampir 30 tahun sejak 1990, dan diwujudkan atas ihsan Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Selain merayu bagi pihak mereka kepada kerajaan terutama mereka yang paling berkuasa dalam hal ehwal kewangan, Lim Guan Eng, apakah lagi yang dapat saya buat?

“Sebagai langkah sementara, hari ini saya mengambil keputusan untuk sedekahkan keseluruhan gaji bulanan pertama saya kepada mereka walaupun hanya dapat sedikit seorang.

“Sekurang-kurangya mereka boleh berbelanja untuk berbuka puasa. Sekiranya ada sesiapa yang ingin membantu, boleh hubungi saya,” katanya.

Katanya, beliau turut meminta mereka yang kehilangan pekerjaan itu dapat bersabar kerana Allah sentiasa bersama insan teraniaya.

Pada masa sama, Annuar juga dikatakan membuat surat rayuan terbuka bagi pihak pegawai pembangunan Agama Islam kepada Guan Eng yang memohon penamatan khidmat pegawai berkenaan dibatalkan.

Annuar turut memaklumkan penamatan itu adalah penganiayaan ketika umat Islam menyambut Ramadan, hari ini sekali gus meminta Guan Eng segera melakukan sesuatu untuk memperbetulkan perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 1:40 PM