Iskandar Shah Mohamed


KEDUDUKAN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor akan diputuskan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah secara rasmi esok.

Kenyataan media itu akan dikeluarkan Istana Selangor pada 9 pagi.

Mohamed Azmin berkata, baginda Sultan menitahkan demikian esok namun beliau enggan mengulas kedudukannya sebagai Menteri Besar ketika ini.

“Alhamdulillah, pertemuan saya dengan Sultan Selangor berjalan lancar dan baginda gembira dengan penjelasan yang diberikan.

“Dalam mesyuarat tadi, selain isu Menteri Besar, isu lain berkaitan negeri Selangor turut dibincangkan.

“Baginda akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi pihak istana pagi esok,” katanya ketika ditemui di perkarangan Istana Kayangan, Shah Alam, hari ini.

Beliau meninggalkan istana dengan menaiki kenderaan rasmi pada 1.48 petang.

Pertemuan hampir dua jam itu difahamkan bagi membincangkan dengan baginda mengenai jawatan kabinetnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Terdahulu, beliau tiba di istana itu pada 11.50 pagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sama ada beliau menerima pelantikan sebagai Menteri Kabinet, Mohamed Azmin berkata, perkara berkenaan turut akan dimaklumkan esok.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bagi membincangkan jawatan kabinetnya.

Dr Mahathir kelmarin mengumumkan nama 15 Menteri Kabinet termasuk menamakan Ahli Parlimen Gombak itu sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Istiadat angkat sumpah jawatan untuk Menteri Persekutuan dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pagi esok.

Pada 11 Mei lalu, Mohamed Azmin, 54, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dua wakil rakyat Selangor disebut-sebut bakal menggantikan beliau iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amiruddin Shari dan ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Berita berkaitan:

Siapa MB Selangor baru?

MB Selangor atau Menteri?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 5:12 PM
MOHAMED Azmin Ali keluar dari istana selepas menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan. FOTO Muhammad Sulaiman
MOHAMED Azmin Ali keluar dari istana selepas menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan. FOTO Muhammad Sulaiman