PASUKAN Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2RRD) menunjukkan 240 kilogram daun ketum yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai lebih RM21,600 di sekitar Pos Sahara, Durian Burung. -Foto IHSAN ATM
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


CUBAAN individu menyeludup keluar 185 kilogram (kg) daun ketum ke Thailand dipatahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini.

Pada kejadian 12 tengah hari, daun itu ditemui oleh pasukan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang melakukan rondaan berhampiran Pos Sahara, Durian Burung di Padang Terap.

Panglima Enam Briged, Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, anggota menemui daun itu yang diikat dan diisi dalam lima guni.

Beliau berkata, guni itu kemudian ditinggalkan oleh pihak terbabit di kawasan hutan berdekatan pos berkenaan.

“Kami percaya daun ketum itu ditinggalkan pada sebelah malam bagi mengelak pergerakan mereka (penyeludup) dikesan oleh anggota keselamatan.

“Modus operandi masih sama iaitu tinggalkan daun ketum di kawasan semak dan pihak ketiga akan mengambil dan menyeludup daun itu ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, daun ketum yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, biarpun di bulan puasa, kegiatan penyeludupan bahan larangan itu masih aktif berikutan permintaan tinggi di Thailand.

“Selepas lima hari berpuasa, ATM berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup daun ketum di kawasan sama,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan terus melakukan rondaan berterusan bagi membanteras kegiatan penyeludupan daun ketum.

Pada 17 Mei lalu, pasukan sama turut merampas 240 kg daun ketum dianggarkan bernilai RM21,000 di Pos Sahara, Durian Burung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 8:48 PM