MOHD Arif Farhan melihat rumah milik keluarganya yang hangus dalam kebakaran di Kampung Tini, Pasir Hor.
Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Pengawal keselamatan lemah longlai selepas melihat rumahnya musnah dalam kebakaran ketika selesai membeli ikan di Kampung Tini, Pasir Hor di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, kereta Proton Iswara milik keluarganya turut hangus menyebabkan kerugian dianggarkan RM70,000.

Azizun Hamat, 50, berkata, sebelum kejadian dia berjalan membeli ikan daripada peniaga yang jaraknya kira-kira 50 meter dari rumah.

“Sebaik selesai membeli ikan, saya ternampak kepulan asap dan ketika itu syak ia dari rumah.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana merasa lemah dan pada masa sama menghubungi suami, Nazri Sulaiman, 45, yang ketika itu keluar menukar tong gas di kedai berhampiran,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, rumah peninggalan orang tuanya itu didiami sejak 30 tahun lalu dan kemungkinan ia berpunca daripada litar pintas.

“Akibat kejadian itu saya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang termasuk buku sekolah anak bongsu, Mohd Arif Farhan, 11, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor turut hangus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darulnaim Azman Arifin berkata, 14 anggota bomba bersama dua jentera dari BBP Darulnaim dan BBP Tunjung ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.25 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:11 AM