Nur Lela Zulkipli dan Arfa Yunos


MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata hutang negara mencecah RM1 trillion adalah berpunca daripada projek mega kerajaan terdahulu yang tidak telus dan dimasukkan ke dalam bajet negara.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat daripada pasukan Unit Perancang Ekonomi, komponen penting dalam kementerian baru itu di Pejabat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, di Putrajaya, ini.

“Kos (RM1 trillion) ini memberi kejutan kepada pentadbiran baru, tetapi hal ini turut dibincangkan pagi ini dan kita harus lihat maklumat terperinci mengenai apa yang menyumbang kepada hutang besar hampir RM1 trillion itu.

“Sebahagiannya ialah kerana proses (kewangan kerajaan) tidak terbuka, telus dan kebanyakan projek tidak dimasukkan ke dalam perbelanjaan dan bukan di bawah belanjawan negara,” katanya pada sidang media, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata langkah segera perlu diambil kerajaan kerana hutang negara telah mencecah angka RM1 trillion berbanding hanya tidak melebihi RM300 billion semasa pentadbiran beliau daripada 1981 hingga 2003.

Justeru, Azmin berkata, beliau akan menyemak projek mega seperti Projek Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Rel Kelajuan Tinggi (HSR) selaras dengan manifesto Pakatan Harapan untuk menyelamatkan ekonomi negara.

“Kami akan menyemak dan merunding semula terma projek berkenaan.

“Tetapi jika ia masih belum dilaksanakan, kita akan fokus kepada projek yang akan berikan kesan langsung kepada rakyat seperti soal infrastruktur asas di kawasan kampung, saluran elektrik dan bekalan air,” katanya.

Sementara itu, Azmin masih berteka-teki berhubung individu bakal menggantikan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah akan mengumumkan keputusan dalam masa beberapa minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 11:56 AM
AZMIN mengadakan pertemuan pertama dengan pasukan Unit Perancang Ekonomi (EPU), hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
AZMIN mengadakan pertemuan pertama dengan pasukan Unit Perancang Ekonomi (EPU), hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor