EMPAT lelaki disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Mengalum, di Kota Kinabalu. FOTO/IHSAN APMM
Junaidi Ladjana


TINDAKAN empat lelaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan menerima padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Malaysia Maritim (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Mengalum, Kota Kinabalu, petang semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, Maritim Malaysia 15 Kota Kinabalu turut merampas 50 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

Pengarah Maritim 15 Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Adam Aziz, berkata bot Peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Api di sekitar Pulau Gaya mengesan sebuah bot pam yang mencurigakan masuk ke kawasan Pulau Mengalum.

“Susulan itu, kita menahan dan memeriksa bot pam dinaiki empat lelaki dan semua mereka gagal menunjukkan pengenalan diri sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui 50kg ikan ditangkap menggunakan bahan letupan dan keempat-empat lelaki berusia 25 dan 32 tahun bersama bot pam ditahan dan diiring ke Pulau Mengalum untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, sejak Op Api dilaksanakan pada 22 Mac lalu sehingga kini, tujuh bot pam yang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan kaedah bom direkodkan.

Sementara itu, Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata pihaknya memberi amaran kepada individu atau kumpulan yang terbabit menangkap ikan menggunakan peralatan tidak dibenarkan terutama dengan bahan letupan.

“Saya mengingatkan mereka yang terbabit dan subahat membekal bahan letupan sedang dijejaki dan tindakan undang-undang akan diambil sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 12:13 PM