KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Wartawan NSTP


TIDAK ada bukti yang dapat menyokong dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya pada tahun 2014 adalah daripada putera Arab Saudi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull menegaskan ia adalah hasil penemuan pasukan penyiasat yang dihantar ke Arab Saudi dan bertemu dengan putera raja terbabit pada tahun 2015.

"Dalam siasatan, prosedur kita ialah kita akan cari saksi. Berdasarkan surat yang menyatakan putera raja itu derma, pegawai kita ke sana. Tapi dalam kes ini, ada seseorang tunjuk kepada kita supaya jumpa putera raja ini.

"Pegawai kita pergi ke sana dan dibawa berjumpa dengan putera raja itu. Ya beliau mengakui menderma wang itu tetapi putera itu tidak dapat mengemukakan bukti atau dokumen menyatakan wang itu adalah derma daripadanya.

"Dalam operasi standard urusan pindah wang, mesti ada dokumentasi dan bukti. Tetapi putera raja ini gagal kemukakan bukti.

"Apabila kita minta Peguam Negara serah bantuan guaman bersama (MLA) ke Arab Saudi, beliau enggan berbuat demikian," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Jaafar Mahad.

Mohd Shukri turut menafikan dakwaan mengatakan pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais pada 2015 ada kaitan dengan 1MDB.

“€œSetakat yang saya tahu, Kevin Morais tiada kaitan dengan kes 1MDB,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:32 PM