WISMA Negeri. FOTO arkib NSTP
Ifwan Tun Tuah


SEPULUH EXCO kerajaan Negeri Sembilan yang akan mengangkat sumpah di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, esok, dijangka terdiri daripada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, PKR (tiga) dan dua daripada Parti Amanah Negara (PAN).

Sumber berkata, Pakatan Harapan (PH) mencapai persetujuan itu berdasarkan prestasi parti gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, dengan DAP menang 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PKR (enam) dan PAN (tiga), yang membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kalah di semua kerusi ditandingi tidak diberi kuota untuk jawatan EXCO, bagaimanapun NSTP difahamkan perbincangan sedang dijalankan bagi membolehkan wakil parti itu menjadi Yang Dipertua DUN.

Mengikut atur cara rasmi yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar, acara pelantikan dan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, akan berlangsung pada 10.35 pagi esok.

NSTP difahamkan, ADUN DAP yang akan mengangkat sumpah esok ialah Teo Kok Seong (Bahau); J Arul Kumar (Nilai); Choo Ken Hwa (Lukut); S Veerapan (Repah) dan Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang).

ADUN PKR pula ialah Mohamad Nazarudin Sabtu (Pilah); Dr Mohamad Rafie Ab Malek (Ampangan) dan Ismail Ahmad PKR (Labu).

Sementara, ADUN daripada PAN ialah Mohamad Taufek Abd Ghani (Paroi) dan Bakri Sawir (Klawang).

Sebelum ini Menteri Besar, Aminuddin Harun dilaporkan berkata, kerajaan negeri PH mengekalkan bilangan EXCO sama seperti kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN, namun membuat sedikit penambahbaikan pada jenis portfolio.

Ditanya mengenai ura-ura jawatan Yang Dipertua DUN akan diberikan kepada ADUN PPBM sebagai tanda kesepakatan gabungan itu, Aminuddin dipetik berkata, perkara berkenaan belum diputuskan dan masih dalam perbincangan lanjut oleh semua pemimpin PH.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 6:01 PM