Dziyaul Afnan Abdul Rahman


MAJLIS Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perlis membidas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shahidan Kassim yang disifatkan sebagai menderhaka kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Yang Dipertua Mubarak Perlis Datuk Bahari Taib menyifatkan kenyataan Shahidan dilihat keterlaluan dalam sidang media di ibu negara pagi tadi, sejurus perlantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis buat penggal kedua, pagi tadi.

Bahari berkata, Shahidan bersama sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN negeri itu tidak sepatutnya memboikot majlis pelantikan Azlan yang diadakan di Istana Arau berkenaan.

“Kuasa untuk melantik Menteri Besar Perlis adalah ditentukan oleh Tuanku Raja Perlis mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri.

“Sepatutnya pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar bukanlah satu isu kerana sebelum pelantikannya, Pemangku Presiden BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Pemangku Timbalan Presiden BN sudah bertemu dengan Raja Perlis bagi membincangkan perkara ini,” katanya dalam sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Perlis di Kangar.

Katanya, sepanjang pengalamannya berkecimpung dalam arena politik, beliau bersama ADUN lain tidak pernah mempertikaikan keputusan yang dikeluarkan oleh Raja Perlis.

“Sebelum membuat apa-apa kenyataan, beliau (Shahidan) seharusnya berbincang terlebih dahulu dengan BN pusat.

“Malah tindakan sembilan ADUN yang tidak hadir ke majlis pelantikan Azlan juga tidak menghormati istana kerana mereka sudah diberikan kad jemputan dua hari sebelum majlis.

“Mereka (sembilan ADUN) lebih mendahulukan jemputan dari Pengerusi BN negeri untuk ke Kuala Lumpur berbanding jemputan daripada Tuanku dan tindakan ini seolah-olah merendahkan martabat institusi raja negeri ini,” katanya.

Katanya, pemecatan Azlan dari UMNO dan BN negeri adalah tidak sah kerana ia diumumkan oleh Shahidan.

“Sepatutnya pemecatan Datuk Seri Azlan Man diumumkan oleh pucuk kepemimpinan BN pusat, bukannya oleh Pengerusi BN negeri.

“Jadi setakat ini pengumuman pemecatan beliau (Azlan) itu tidak sah selagi tiada pengumuman dari BN pusat," katanya.

Terdahulu NSTP melaporkan Azlan Man mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis pagi ini tanpa kehadiran sembilan ADUN daripada BN.

Berita berkaitan

'MT saja boleh pecat ahli UMNO'

[UPDATE] Azlan mahu jumpa Zahid, Hishammuddin

[UPDATE] UMNO pecat MB Perlis

'Kami tolak Azlan Man jadi MB'

[UPDATE] Raja Perlis murka

Azlan Man MB Perlis, 9 ADUN BN tak hadir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 7:01 PM