MUSA tiada di rumah ketika SPRM hadir ke rumahnya di Kota Kinabalu, Rabu lalu. FOTO fail NSTP.
Avila Geraldine


BEBERAPA pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan hadir di kediaman Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman di Kota Kinabalu, Rabu lalu, bagi menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, tiada fail atau dokumen diambil kerana pegawai SPRM dilaporkan tidak dapat memasuki kediaman itu berikutan Musa dilaporkan tiada di rumah.

Peguam Zahir Shah yang mewakili Musa ketika dihubungi NSTP, mengesahkan mengenai kehadiran pegawai SPRM terbabit, namun mereka tidak membuat sebarang pemeriksaan.

“Ya, SPRM pergi ke rumah Tan Sri Musa, tetapi tidak ada fail dan dokumen dirampas,” katanya.

Tidak dapat dipastikan sama ada kehadiran pegawai SPRM itu ada kaitan dengan siasatan terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan berhubung kerjasama parti itu dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Baru-baru ini, Jeffery disiasat SPRM berhubung dakwaan beliau menerima RM20 juta selepas PRU-14 daripada pihak tertentu.

Dalam PRU-14, STAR diketuai Jeffrey memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bekerjasama dengan BN yang memiliki 29 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, sekali gus menyaksikan Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei lalu.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, kerajaan BN - STAR hilang majoriti selepas enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menyokong Parti Warisan Sabah (WARISAN), sekali gus membolehkan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dan membentuk kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 2:44 PM