CHOO Kiong (kanan) bersama Zamri pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama 15 PBT seluruh Perak, hari ini. FOTO Razif Rosli


KERAJAAN negeri Perak menawarkan diskaun 70 peratus terhadap semua kompaun parkir yang dikeluarkan oleh 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu selama sebulan bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Yong Choo Kiong berkata, diskaun itu ditawarkan sempena Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan baharu.

Menurutnya, tawaran diputuskan melalui mesyuarat bersama kesemua 15 PBT di negeri itu dan ia berkuat kuasa serta merta pada hari ini.

“Orang ramai boleh membayar kompaun parkir sahaja dengan potongan 70 peratus bermula hari ini sehingga 25 Jun depan.

“Bayaran kompaun boleh dilakukan di semua kaunter PBT di seluruh negeri dan kita harap pengguna memanfaatkan peluang ini untuk menjelaskan kompaun mereka kerana pengurangan yang ditawarkan adalah sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan Yang Dipertua Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran termasuk Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga bersetuju akan menyeragamkan sistem penggunaan kupon letak kereta bagi seluruh negeri mulai Januari depan.

Katanya, sistem itu akan membolehkan orang awam menggunakan satu kupon untuk mana-mana tempat letak kereta terbuka di seluruh Perak.

“Kita akan seragamkan kadar bayaran letak kereta dan rakyat selepas ini tidak lagi perlu membeli kupon berlainan jika berada dalam satu-satu kawasan PBT.

“Buat masa ini kita terima laporan kebanyakan PBT sudah mencetak kupon masing-masing. Jadi kita beri masa kepada PBT untuk habiskan dan bermula tahun depan akan menggunakan kupon yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 4:23 PM