AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot nelayan tempatan kerana menangkap ikan tanpa lesen yang sah. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


DUA bot nelayan bersama dua tekong dan dua awak-awak tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika sedang menangkap ikan secara tunda ganding, semalam.

Dalam kejadian pada 11.30 pagi itu, dua bot berkenaan ditahan kira-kira 8.2 batu nautika dari barat laut Pantai Remis.

Pengarah Maritim Perak Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, bot berkenaan dikesan kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan dan penguat kuasaan di perairan negeri.

“Ketika ditahan bot berkenaan sedang menangkap ikan dan hasil pemeriksaan mendapati tekong bot gagal menunjukkan dokumen berkaitan bot yang sah.

“Bot bersama tekong dan awak-awak berusia 30 hingga 47 tahun kemudian diiringi ke jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen yang sah.

“Maritim Malaysia akan bertindak tegas kepada mana-mana bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan dan melakukan pencerobohan di zon tangkapan ikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 5:15 PM