(Gambar kecil) Azmi (atas) dan Muhammad Fathi.
Rohaniza Idris

KEPIMPINAN Barisan Nasional (BN) Pusat perlu campur tangan bagi menyelesaikan krisis pelantikan Menteri Besar Perlis.

Perkara itu disuarakan veteran UMNO Perlis, Tan Sri Azmi Khalid yang menyifatkan kemelut pelantikan Menteri Besar itu kini menyebabkan krisis Perlembagaan di negeri itu.

Katanya, secara praktikalnya memang BN Perlis mempunyai hak untuk menentukan calon Menteri Besar namun apabila berlaku krisis ia perlu dirujuk kepada BN Pusat.

“Apa yang berlaku ini tidak sepatutnya terjadi lebih-lebih lagi BN sudah pun menang dua pertiga pada pilihan raya umum yang lalu. Dengan kemenangan ini, BN dalam keadaan selesa untuk membentuk kerajaan.

“Justeru, apabila timbul krisis seperti, BN negeri sepatutnya merujuk kepada BN Pusat. Soalnya, adakah perkara ini sudah dirujuk atau tidak? Setakat ini, BN Pusat mahupun UMNO Pusat nampaknya tidak memberikan reaksi sedangkan rakyat sedang memerhati,” katanya dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau ditanya mengenai krisis pelantikan Menteri Besar Perlis yang mana Datuk Seri Azlan Man yang mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Balai Menghadap, Istana Arau semalam dibantah sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.

Kesemua sembilan ADUN itu tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah Menteri Besar itu semalam. Sebaliknya tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS yang hadir.

Tindakan memboikot majlis itu menyebabkan Tuanku Syed Sirajuddin murka kerana semua ADUN terbabit berada di Perlis ketika jemputan dihantar kepada mereka, iaitu dua hari sebelum majlis bermula.

Sembilan ADUN itu dalam sidang media di Kuala Lumpur yang diwakili Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan mereka menolak pelantikan Azlan kerana tidak mengikut suara majoriti yang mahukan ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim dilantik ke jawatan itu.

Ismail yang juga adik Shahidan malam tadi menyatakan beliau tidak mahu jawatan itu dan sebagai penyelesaian kemelut itu menyarankan kepada Tuanku Syed Sirajuddin untuk tidak melantik Azlan sebagai Menteri Besar Perlis sebaliknya memilih salah seorang daripada lapan ADUN BN yang menang.

Sementara itu, Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pemimpin parti politik perlu mengelakkan berlakunya konflik atau pertembungan dengan pihak Istana.

Katanya, dalam pelantikan MB, pihak Istana mempunyai kuasa untuk melantik individu yang dipercayai mendapat sokongan majoriti ahli dewan dan kebiasaannya ia dilakukan secara perbincangan tertutup antara pihak Istana dan pemimpin parti yang menang.

“Dalam hal ini, masing-masing perlu membuat satu ketetapan yang jelas sebelum berlangsungnya upacara mengangkat sumpah. Namun dalam kebanyakan situasi jarang berlaku perbezaan antara hasrat pihak Istana dan parti yang menang. Jika wujud perbezaan, kebiasaannya pihak parti politik akur dengan pandangan dan kehendak pihak Istana.

“Hal ini khabarnya pernah berlaku di Terengganu, Johor dan beberapa negeri lain. Oleh itu, Raja Perlis boleh menetapkan tokoh yang pada hemat baginda mendapat sokongan demikian. Bahkan Perkara 39(4) Undang-undang Tubuh Negeri Perlis memberi kuasa kepada Raja Perlis untuk melantik MB tidak mengikut syarat-syarat yang mengehadkan kuasanya dalam melantik MB jika pada pendapatnya mustahak untuk berbuat demikian.

”Oleh itu, jika pihak Raja Perlis menetapkan untuk tidak menerima tokoh tertentu, pemimpin parti politik perlu menghormatinya. Tindakan memboikot majlis angkat sumpah adalah satu langkah yang bertentangan dengan budaya dan adab dengan Istana,” katanya.

Beliau melihat penyelesaian terbaik ialah dengan menerima sahaja Menteri Besar yang telah mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis.

“Jika Datuk Ismail (Kassim) mendapat sokongan majoriti sekali pun, ia tidak memberikan apa-apa makna jika beliau tidak dibenarkan untuk memasuki istana untuk mengangkat sumpah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 5:42 PM