Petah Wazzan Iskandar
wazzan@nstp.com.my


KEGAGALAN membentuk kerajaan negeri dalam tempoh 120 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh mengheret kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mungkin menyaksikan Barisan Nasional (BN) ditolak rakyat Perlis.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kesepakatan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan BN mencari jalan penyelesaian amatlah penting bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar selain tidak menyusahkan rakyat.

Beliau berkata, sekiranya kata sepakat gagal diperoleh dalam membentuk kerajaan negeri, Azlan perlu membentuk kerajaan dengan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan dan PAS.

“Namun, jika Azlan masih gagal membentuk majoriti mudah iaitu dengan sokongan lapan ADUN maka beliau perlu mengisytiharkan pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri.

“Bagaimanapun, sekiranya tiada keputusan daripada Azlan, Kerajaan Persekutuan yang kini diterajui Pakatan Harapan boleh campur tangan dengan mengisytiharkan darurat di Perlis.

“Selepas tempoh darurat tamat, PRN mesti diadakan bagi membolehkan rakyat memilih parti untuk membentuk kerajaan negeri dan sekiranya ia berlaku, saya menjangkakan BN akan ditolak kerana rasa tidak puas hati rakyat membabitkan krisis perlantikan Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi NSTP sebentar tadi.

Mohd Azizuddin yang juga Pensyarah Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, dalam apa jua keadaan, BN akan rugi kerana masalah dalaman ini menyebabkan rakyat marah dengan parti yang diketuai UMNO itu.

“Pada pendapat saya, BN tidak bersedia untuk pilihan raya semula dalam keadaan krisis begini,” katanya.

Pada PRU-14, BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN Perlis pada PRU-14 untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Bagaimanapun, namun krisis perlantikan Menteri Besar tercetus apabila Shahidan mengumumkan BN bersetuju mencalonkan ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim untuk menggantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Semalam, Azlan menjadi pemimpin negeri terakhir mengangkat sumpah jawatan, 14 hari selepas PRU-14 berlangsung , untuk penggal kedua.

Bagaimanapun, krisis itu berpanjangan apabila majlis istiadat angkat sumpah tersebut diboikot oleh sembilan ADUN BN dari kem penyokong Shahidan.

Shahidan dan 9 ADUN tersebut mengadakan sidang media di Kuala Lumpur membantah perlantikan Azlan dan meminta supaya Istana Arau menerima keputusan majoriti ADUN BN untuk melantik Ismail.

Tindakan mereka telah menimbulkan kemurkaan Tuanku Syed Sirajuddin yang bertitah baginda enggan melantik Ismail kerana bimbang Menteri Besar Perlis menjadi boneka kepada pihak luar.

Beberapa jam selepas sidang media semalam, Ismail di Kuala Lumpur merafak sembah kepada Raja Perlis untuk melantik calon lain selain dirinya dan Azlan sebagai Menteri Besar bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Tindakan terbabit bagi mahu memperbetulkan pandangan bahawa dirinya sebagai gila kuasa atau menteri besar boneka hanya kerana namanya dicalonkan oleh abangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 6:28 PM