ROSMIZA (dua kanan) bersama Raja Rusmin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nurulhamiza dan Razali sempena program Kita Kongsi di Kampung Sungai Pinang, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


KEMISKINAN hidup enam beranak memaksa ibu mencari pucuk paku di sekitar rumahnya di Kampung Sungai Pinang, Tumpat, bagi membantu menampung kehidupan seharian keluarganya.

Nurulhamiza Yaacob, 29, terpaksa mencari tanaman itu bagi meraih sedikit pendapatan memandangkan suaminya, Razali Husin, 43, menghidap penyakit jantung sejak tahun lalu.

Nurulhamiza berkata, akibat penyakit itu suaminya tidak mampu membuat kerja kuat dan hanya bekerja sebagai buruh.

Berikutan itu, katanya, dia terpaksa membawa tiga anaknya yang masih kecil berusia empat dan lima tahun termasuk sepasang kembar bersama-sama meredah semak di sekitar rumah mencari pucuk paku sekiranya suami keluar bekerja.

“Pucuk paku itu saya letak di gerai dan pasar berhampiran...dapat lah sekitar RM10 hingga RM20 sehari.

“Bukan tidak mahu bekerja, tapi itu sahaja yang mampu saya bantu suami memandangkan semua anak masih kecil dan tiada siapa nak jaga mereka jika saya keluar bekerja,” katanya.

Selain suaminya pernah diserang kencing tikus, Nurulhamiza berkata, beliau kehilangan limpa akibat kemalangan jalan raya, lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, suami tetap menguatkan semangatnya untuk keluar bekerja sebagai buruh apabila mengenangkan anak masih kecil dan memerlukan perbelanjaan besar.

“Purata pendapatan suami hanya sekitar RM800 hingga RM1,000 sebulan. Anak sulung kami, Muhammad Razin Harith, 7, belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pinang dan setiap hari hanya bawa RM2 ke sekolah dan jumlah itu amatlah sedikit jika dibandingkan kos sara hidup tinggi ketika ini.

“Bagi Ramadan ini, kami berbuka puasa dan bersahur ala kadar sahaja iaitu lauk ikan masin dan sambal ikan bilis. Ini adalah menu tetap kami setiap hari.

“Kami sudah bertahun-tahun tidak menyambut Aidilfitri kerana tidak mampu beraya seperti orang lain, hanya sekadar membeli kelengkapan baju raya sepasang seorang sahaja untuk anak,” katanya sambil berlinangan air mata.

Berdasarkan pemerhatian, rumah sewa didiami mereka sekeluarga dengan kadar sewa RM200 sebulan sejak dua tahun lalu, kosong tanpa sebarang peralatan seperti televisyen, mesin basuh dan peti ais.

Keluarga Nurulhamiza dikunjungi Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) dengan kerjasama beberapa pihak yang tampil menyampaikan sumbangan sempena program Kita Kongsi, hari ini.

Sumbangan barangan makanan harian disampaikan Setiausaha KEMUDI, Rosmiza Kasim bersama dengan Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Grand Riverview (GRV), Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud yang turut menyerahkan lauk dimasak pihak hotel untuk keluarga itu bersahur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 3:15 PM