GAMBAR hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


BEKAS penasihat kewangan sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang milik pelanggan berjumlah RM1.2 juta, dua tahun lalu.

Zainab Ilyana Lokman, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai penasihat kewangan bank itu telah melakukan pecah amanah wang pelanggan berjumlah RM1,223,000 di HSBC Amanah Malaysia Berhad, Jalan Telawi, Bangsar, antara Ogos 2016 dan Oktober 2016.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Lily Chua.

Terdahulu, Norashikin mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Lily memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah atas alasan tertuduh kini hanya bekerja sebagai jurujual yang menyara nenek dan adiknya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 1:42 PM