(Gambar fail) Nur Amanina Ahmad Nizamuddin bersama Sarah Abdul Aziz melihat kereta api berkelajuan tinggi oleh China HSR Consortium. FOTO Surianie Mohd Hanif
(Gambar fail) Nur Amanina Ahmad Nizamuddin bersama Sarah Abdul Aziz melihat kereta api berkelajuan tinggi oleh China HSR Consortium. FOTO Surianie Mohd Hanif
Manirajan Ramasamy; Fairul Asmaini Mohd Pilus; Nasarudin Parzi dan Farhana Syed Nokman

MALAYSIA mungkin terpaksa membayar penalti RM500 juta kepada Singapura, sekiranya kerajaan memutuskan perjanjian Projek Rel Kelajuan Tinggi (HSR) dihentikan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penalti itu perlu dibayar sekiranya Malaysia menarik diri daripada meneruskan projek terbabit.

“Ia adalah keputusan muktamad tetapi akan mengambil sedikit masa, kerana kita mempunyai perjanjian dengan Singapura.

“Terdapat penalti, jika Malaysia menarik diri daripada pertaruhan, saya diberitahu ia hampir RM500 juta.

“Bagaimanapun saya masih belum dapat mengesahkan sama ada ia adalah dalam ringgit, Dollar Singapura atau Dollar Amerika (Syarikat),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, projek itu membabitkan kos yang besar, justeru, perbincangan lanjut perlu diadakan dengan republik itu.

Kata beliau, projek HSR tidak memberi manfaat selain tidak menguntungkan.

“Ia hanya satu trek yang pendek. Ia akan menjimatkan masa orang hanya satu jam sahaja dengan mengambil HSR.

“Kita perlu melihat perjanjian asal dan ketika ini, saya belum melihatnya,” katanya.

Sementara itu, dalam wawancara eksklusif bersama akhbar The Edge Weekly sebelum ini, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu menanggung kerugian yang besar jika projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dibatalkan.

Menurut beliau, kerajaan perlu mencari jalan alternatif untuk mengurangkan jumlah wang yang perlu dibayar sebelum membatalkan perjanjian dibuat pentadbiran terdahulu.

“Kita akan kerugian besar jika memutuskan untuk membatalkan HSR.

“Berdasarkan perjanjian dibuat bersama Singapura, kita perlu membayar sejumlah wang yang besar jika mahu menggugurkan projek itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 8:46 PM