RUMAH Panjang Long Busang rosak dilanda ribut. FOTO ihsan pembaca
RUMAH Panjang Long Busang rosak dilanda ribut. FOTO ihsan pembaca
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“Rumah panjang kami terasa seperti digoncang beberapa minit sebelum bumbung tercabut diterbangkan ribut,” kata Robinson Osolawai, 47, penduduk Rumah Panjang Long Busang di Bukit Mabong, Baleh, kelmarin.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, ribut menyebabkan lebih sembilan pintu rumah panjang yang dihuni lebih 80 penduduk rosak diterbangkan ribut susulan hujan sejak awal pagi Ahad lalu.

Robinson berkata, ketika kejadian, rata-rata penduduk berehat di kediaman masing-masing kerana hujan lebat yang menyebabkan aktiviti harian penduduk tergendala.

Katanya, ribut menyebabkan sebahagian besar penghuni tidak sedar bunyi gong yang dipalu sebagai amaran supaya mereka keluar menyelamatkan diri kerana angin kuat dan hujan semakin lebat.

“Ada beberapa penduduk kemudian bergegas pergi ke rumah panjang kami dan meminta semua penghuni keluar menyelamatkan diri kerana khuatir ribut akan merosakkan rumah.

“Ketika semua penghuni bergegas menyelamatkan diri, bumbung rumah panjang dibawa ribut. Keadaan itu menyebabkan kami cuba menyelamatkan barangan berharga daripada musnah terkena hujan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, kejadian ribut umpama puting beliung itu pertama kali berlaku sejak rumah panjang berkenaan dibina lebih 60 tahun lalu.

Katanya, setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penduduk sempat melarikan diri ke kawasan selamat.

“Penduduk kini menumpang sementara di rumah saudara berhampiran kerana sebahagian mangsa yang beragama Islam perlu menjalani ibadat puasa.

“Kami akan bergotong royong untuk membaiki semula kerosakan rumah yang terjejas dan diharap bantuan dapat disalurkan segera agar rumah panjang dapat dibaiki dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 6:53 PM
Digital NSTP Subscribe