RUMAH Mohd Zaidi hangus dalam kebakaran di Kampung Banggol, Tumpat, 5.45 petang hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Siti Rohana Idris


JUADAH berbuka puasa dan kelengkapan Aidilfitri termasuk baju raya antara yang musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Banggol, Tumpat, petang hari ini.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, motosikal dan wang tunai RM2,000 tidak sempat diselamatkan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pemilik rumah, Mohd Zaidi Zakaria, 40, berkata, sebelum kejadian dia sedang tidur di ruang tamu sementara isterinya, Che Napisah Che Abdullah tiada di rumah kerana bekerja di kedai makan di Pengkalan Kubor.

Katanya, secara tiba-tiba dia dikejutkan anaknya, Ayu Liana, 8, yang ternampak api di bilik tidur.

“Saya terus bangun untuk memeriksa dan terkejut apabila melihat api marak di dinding dan mula merebak.

“Saya terus mendukung tiga anak iaitu Ayu Fakira, 6 , Ayu Harfina, 4, serta Ayu Liana untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia dan beberapa jiran cuba memadamkan api dengan menyimbah air menggunakan baldi, namun gagal kerana api marak dengan cepat.

“Sedih mengenangkan baju raya anak serta isteri termasuk seorang anak saudara yang tidak sempat diselamatkan.

“Kebakaran turut memusnahkan motosikal dan wang tunai yang disimpan di dalam beg duit sebanyak RM2,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Suhaimi Othman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.53 petang sebelum tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Seramai 13 anggota dari BBP Pengkalan Kubor dan Tumpat tiba di lokasi beberapa minit selepas itu.

“Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak dan kebakaran dianggarkan 80 peratus. Punca dan kerugian sedang dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 9:39 PM