SUNTINGAN dari laman sosial Facebook milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
SUNTINGAN dari laman sosial Facebook milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Rizanizam Abdul Hamid


DATUK Seri Najib Razak menggesa kerajaan supaya bersikap telus berkaitan keputusan membatalkan projek projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana projek berkenaan bukan diilhamkan hanya berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh satu negara sahaja, sebaliknya selepas melalui kajian terperinci terhadap manfaatnya.

Beliau menerusi kenyataaan di Facebooknya hari ini berkata, ia membabitkan kos yang dibuat oleh kedua-dua pihak sejak bertahun lamanya yang turut membuktikan wujud manfaat sosial dan ekonomi bagi Malaysia-Singapura.

“Projek ini mempunyai potensi untuk membentuk masa depan dan bagaimana kita dapat bekerjasama bagi faedah bersama.

“Kajian turut menunjukkan Malaysia adalah penerima manfaat utama bagi projek ini memandangkan majoriti landasan adalah di negara ini.

“Menggabungkan secara integrasi dua bandar utama dan ekonomi di Asia Tenggara akan menghasilkan manfaat yang besar yang melangkaui jualan tiket dan kos bagi infrastruktur itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini mengenai keputusan kerajaan membatalkan projek MRT3 manakala HSR dikaji semula tertakluk kepada perbincangan dengan Singapura kerana implikasi kewangan yang tinggi.

Mengulas lanjut, Najib berkata, projek HSR adalah sebahagian daripada agenda transformasi dan visi untuk Malaysia baharu yang akan mewujudkan industri baharu, kaedah baharu untuk kerjasama antara dua negara, meningkatkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan gaya serta taraf hidup lebih baik untuk semua rakyat.

“Pada ketika kita memahami ia adalah prerogatif kerajaan baharu untuk membatalkan projek ini, saya kecewa dengan keputusan terburu-buru untuk membatalkan projek ini.

“Saya menggesa kerajaan untuk bersikap lebih telus dan mengadakan rundingan sebelum membuat apa-apa keputusan kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan ekonomi, peluang pekerjaan dan jenis pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kerajaan baharu mendakwa kos projek HSR adalah RM110 bilion.

Jawatankuasa bersama Malaysia – Singapura, sehingga awal tahun ini juga katanya telah mengunjurkan kos bagi projek ini adalah kira-kira RM72 bilion.

“Ini termasuk pengambilan tanah dibayar kepada rakyat Malaysia, berasaskan kepada penilaian antarabangsa yang dilakukan dan dikemukakan sebelum ini.

“Kos sebenar hanya diketahui apabila tender sepenuhnya bagi merekabentuk, membina, pembiayaan dan penyelenggaraan kesemua stok penggunaan dan aset keretapi HSR, yang dijangka ditutup sepenuhnya pada 28 Disember, 2018,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Najib, kerajaan seharusnya memberitahu rakyat bagaimana mereka memperoleh angka RM110 bilion terbabit, adakah angka itu juga dinaikkan atas dasar politik sebagaimana dilakukan terhadap angka RM1 trilion bagi ‘hutang negara’

“Realitinya, projek infrastruktur seperti HSR ini, membawa pulangan dan manfaat dalam bentuk kenaikan nilai hartanah, kepesatan ekonomi setempat, pemindahan teknologi, peluang pekerjaan pendapatan tinggi, kemasukan tenaga pakar ke dalam negara dari Singapura serta pelancongan.

“Saya mahu bertanya kepada Dr Mahathir apakah projek-projek Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Central Spine Road yang tiada tol, projek LRT, MRT dan monorel mendapat pulangan dari hasil tiket sahaja? Sudah tentu tidak.

“Projek-projek infrastruktur ini mendatangkan pulangan kepada negara dari segi kepesatan ekonomi. Kerajaan akan meraih pendapatan daripada cukai yang diperoleh daripada ekonomi yang lebih rancak manakala, rakyat pula mendapat kemudahan dan peluang pekerjaan kerana dapat berhubung dengan mudah,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 9:26 PM