KERETA meredah jalan dilanda banjir kilat di Kota Kinabalu, malam ini. FOTO ihsan pembaca.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


HUJAN lebat sejak 6 petang hari ini menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Papar.

Antara lokasi terjejas adalah di Jalan Lido dan Lintas manakala di Sepanggar iaitu di Kampung Tebobon, Lokub dan Gudon.

Di Penampang, lokasi terjejas ialah di Jalan Bundusan dan di Kampung Bagagon dengan beberapa kawasan berkenaan dinaiki air.

Di Papar pula, banjir turut berlaku di Kampung Nambazan.

Beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan ada restoran dan jalan dinaiki air iaitu di Jalan Lido dan Jalan Bundusan manakala di Kampung Melalia, Sipitang dilaporkan berlaku kejadian tanah runtuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, ketika dihubungi memaklumkan sejak 7 malam sebanyak 50 panggilan diterima membabitkan banjir di daerah Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Papar.

“Setakat ini, anggota bomba sedang memantau keadaan di lokasi banjir.

“Kemungkinan ada mangsa akan dipindahkan jika hujan berterusan, namun setakat ini belum ada laporan diterima daripada anggota bomba bertugas di lokasi,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan berkaitan pokok tumbang di atas jalan raya.

“Antaranya di Putatan, Kolombong, Manggatal, Inanam dan Telupid.

“Anggota APM kini sedang mengalihkan dan membersihkan pokok yang tumbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 10:44 PM