SYARIFAH bersama Zulkefli mempunyai kira-kira 100 ekor kucing terbiar yang dikutipnya sejak 10 tahun lalu di di FELDA New Zealand. FOTO/SHAHRINNAHAR LATIB
SYARIFAH bersama Zulkefli mempunyai kira-kira 100 ekor kucing terbiar yang dikutipnya sejak 10 tahun lalu di di FELDA New Zealand. FOTO/SHAHRINNAHAR LATIB
Shahrinnahar Latib

SUAMI isteri di FELDA New Zealand di Maran, sanggup bersusah payah memelihara 100 kucing terbiar sehingga pernah berhutang RM6,000 demi membeli ubatan untuk haiwan itu.

Pasangan itu, Zulkefli Abdullah, 50, dan Syarifah Nor Amalina Syed Abdullah, 32, mengutip kucing terbiar itu di merata tempat di Maran termasuk pasar dan masjid malah menganggap haiwan itu seperti anak sendiri.

Syarifah Nor Amalina yang lebih dikenali sebagai Naiela dalam Facebook berkata, dia tidak pernah berputus asa membela kucing terbiar itu.

Menurutnya, kebanyakan kucing itu adalah haiwan terbuang yang sakit, cacat serta tinggal di kawasan berbahaya seperti tepi jalan dan tapak pembinaan.

“Saya kasihan melihat kucing terbiar ini terutama yang sakit atau aniaya, saya ambil dan bawa balik.

“Selalunya kucing hendak mati tetapi selepas dirawat pulih dan sihat.

“Kucing ini saya bela sejak 10 tahun lalu lagi, mula-mula sikit saja namun lama kelamaan semakin banyak dan sekarang ada 100 ekor kucing saya bela,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, Naiela menjadi perhatian umum apabila dia memuat naik status meminta bantuan sumbangan makanan dan pasir untuk kucing itu di Facebook.

Katanya, dia terpaksa melakukan perkara itu demi mendapatkan makanan, ubat dan keperluan lain untuk kucingnya kerana mereka sekeluarga kesempitan wang.

“Pendapatan kami sekeluarga tak seberapa malah disebabkan bilangan kucing semakin bertambah kos perbelanjaan untuk haiwan ini meningkat hingga lebih RM1,000 sebulan termasuk kos makanan, pasir dan ubat-ubatan.

“Kami sekeluarga buntu memikirkan untuk mencari duit. Biar saya lapar tapi bukan ‘anak-anak’ saya kerana haiwan ini tidak tahu berdikari untuk mencari makanan.

“Ketika itulah saya terpaksa menolak perasaan malu meminta sumbangan makanan dan pasir daripada rakan-rakan di Facebook kerana tidak sampai hati melihat kucing ini berlapar,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai.

Dia juga tidak menyangka permintaannya itu menjadi tular dan mendapat perhatian netizen yang rata-rata simpati dengan situasinya.

“Ada juga marah dan kecam saya, kalau tak mampu kenapa jaga dan ada juga menganggap saya mahu mengambil kesempatan atas haiwan ini,” katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Naiela di talian 014-5023716 atau terus ke dalam akaun Maybank di atas nama Syarifah Nor Amalina (156141518167)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 2:16 PM
Digital NSTP Subscribe