PENGARAH Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Rozainum Ahmad bergambar bersama Muhammad Syazwan Mat Sidik, Muhammad Anuar Abd Ghani dan Safiyyah Muhammad Nasir pelajar SMK Kuala Besut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A’isyah Sukaimi


MEREKA tiada sebarang pengetahuan dalam bidang nuklear, malah ada dalam kalangan tiga remaja itu beranggapan sumber tenaga berkenaan sering dikaitkan dengan peperangan dan senjata.

Biarpun tidak pernah didedahkan dengan nuklear, Muhammad Syazwan Mat Sidik, 17, Muhammad Anuar Abd Ghani, 17, dan Safiyyah Muhammad Nasir, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, Terengganu tidak berputus asa dalam menyiapkan projek ‘100 Perkara Mengenai Sains Nuklear dan Kehidupan’.

Kesabaran mereka menghasilkan projek itu bagi Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear di Gyeongju, Korea Selatan dari 28 hingga 31 Mei lalu terbalas apabila muncul juara, sekali gus mengalahkan peserta dari 300 sekolah berprestij dari negara lain.

Menceritakan kejayaan itu, Safiyyah mengakui, pengetahuannya mengenai nuklear hanya berkait dengan peperangan atau senjata sedangkan banyak manfaat dan kebaikannya dalam kehidupan.

“Semasa membuat kajian lapangan di sebuah jeti di Besut sebelum pertandingan ini, kami bertemu dengan seorang pelancong asing yang mendakwa nuklear di negaranya digunakan untuk peperangan dan dia juga tidak ada pengetahuan meluas.

“Dari situ, kami mengambil peluang dengan memberi penerangan kepada orang ramai di Besut dan kita buka minda mereka mengenai kegunaan nuklear dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, hari ini.

Kepulangan mereka bersama guru pembimbing, Wan Zul Azri Wan Mod Shatar, Faizul Abd Raman dan Rohaya Husin disambut oleh Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad.

Peserta lain, Muhammad Syazwan berkata, dia gembira dan bersyukur apabila pasukan mereka, KuBest Smart Innovation diumumkan sebagai juara, sekali gus menewaskan peserta lain dari merata dunia.

“Alhamdulillah, kami dapat mengalahkan negara lain pada pertandingan ini walaupun kita tahu Malaysia bukan negara nuklear, ia bukan penghalang kepada kami untuk berusaha.

“Selain itu, kami ada menghasilkan aplikasi pada telefon pintar Play Store dan di dalamnya mengandungi permainan yang menyalurkan maklumat berkaitan sains nuklear sebagai bahan bacaan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, rakan mereka, Muhammad Anuar berkata, selepas menyertai pertandingan berkenaan, dia kini tertarik untuk meneruskan pengajian dalam bidang nuklear selepas tamat persekolahan.

“Bersyukur kepada Allah atas kemenangan yang diberikan dan sudah tentu, saya berasa gembira serta teruja. Jika ada rezeki, saya berharap dapat meneruskan dalam bidang ini,” katanya.

Pasukan dari sekolah berkenaan antara peserta peringkat akhir bagi pertandingan itu dan mereka turut berentap dengan pasukan dari Amerika Syarikat, Hungry, Jepun dan Korea Selatan.

Malaysia menghantar sebanyak 15 penyertaan melalui Agensi Nuklear Malaysia dan Kementerian Pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 8:20 PM