KUCING batu dikurung di dalam sangkar di rumah kongsi pelombong.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Sambil menyelam minum air. Itu perumpamaan terhadap tindakan kumpulan pekerja lombong warga asing yang dikesan turut bergiat aktif sebagai pemburu haram di sekitar Gua Musang di sini.

Semua suspek membabitkan warga China, Indonesia dan Thailand itu bagaimanapun ditahan susulan operasi bersepadu membabitkan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dalam operasi terbaru jam 4 petang semalam, 11 anggota Perhilitan dibantu lapan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan pemeriksaan terhadap kawasan perlombongan bijih di Gua Musang, Kelantan.

Operasi bersepadu bersama ATM siri 5 2018 itu bertujuan membanteras kegiatan pemburuan haram dilakukan oleh rakyat tempatan dan warga asing.

Kadir berkata, pemeriksaan dan penggeledahan kemudian dilakukan di sebuah rumah kongsi di kawasan berkenaan.

“Hasilnya seekor kucing batu masih hidup ditemui dikurung di dalam sangkar di rumah kongsi itu.

“Turut ditemui satu bungkusan berisi daging disyaki daging babi hutan dibunuh dan dilapah. Daging itu diletakkan di dalam peti sejuk di pejabat rumah kongsi berkenaan,” katanya.


DAGING babi ditemui dalam peti sejuk di pejabat rumah kongsi.

Menurutnya, susulan penemuan itu, 23 individu ditahan membabitkan tiga lelaki tempatan, tujuh warga China, empat warga Thailand dan sembilan warga Indonesia.

“Semua individu dan barang kes disita dibawa ke Balai Polis Gua Musang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kes berasingan sepasukan pegawai PERHILITAN memeriksa kediaman di FELDA Jaya Selatan, Bahau, Negeri Sembilan, jam 4.45 petang Rabu lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui tiga ekor hidupan liar dilindungi disyaki spesies burung belibis.

“Pemilik hidupan liar gagal menunjukkan dokumen atau permit khas memelihara hidupan liar daripada PERHILITAN,” katanya.

Menurutnya, semua burung itu kemudian disita dan dibawa ke Pejabat Jabatan PERHILITAN Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 68(2)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) membawa hukuman denda minimum RM50,000 dan penjara tiga tahun,” katanya.


BURUNG belibis yang ditemui ketika serbuan di FELDA Jaya Selatan, Bahau, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 9:09 AM