Siti Zaharah (kanan) dan rakannya memilih kelengkapan raya. FOTO Ghazali Kori
Aslina Abu Bakar


DI SAAT rakan lain bergembira memilih pakaian raya, jauh di lubuk hati seorang penghuni Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Fakir Miskin Darul Akhyar, Kuala Nerus, di Kuala Terengganu, masih sebak mengenangkan Ramadan terakhir bersama arwah ibunya tahun lalu.

Bagi Siti Zaharah Ishak, 14, tiada apa ang lebih menyedihkan mengenangkan esok genap setahun ibunya, Ramlah Kadir, 55, meninggalkannya buat selama-lamanya akibat angin ahmar.

Siti Zaharah yang juga kehilangan bapa Ishak Ismail lima tahun lalu berkata, dia hanya memilih sehelai baju tudung dan kasut sahaja untuk meraikan Aidilfitri tahun ini.

“Sebelum ini, setiap kali Ramadan aktiviti yang paling menggembirakan adalah membeli kelengkapan termasuk baju dan kasut untuk menyambut Aidilfitri.

“Tetapi, selepas ibu meninggal pada enam Ramadan tahun lalu, kegembiraan tidak dapat dirasakan lagi,” katanya ketika ditemui pada Program Membeli-belah Pakaian Raya anjuran Asrama Kebajikan Anak Anak Yatim Fakir Miskin Darul Akhyar, di sebuah pasar raya, di Kuala Terengganu, hari ini.

Namun, Siti Zaharah berkata, dia tetap bersyukur kerana banyak pihak yang prihatin dengan nasib anak yatim sepertinya dan sering menghulurkan bantuan untuk menyediakan kelengkapan.

Menurutnya, ketika ibunya masih sihat, pelbagai aktiviti lakukan bersama seperti membantu ibu bekerja untuk mengumpul duit sebelum Aidilfiti dengan mengambil upah mencuci pinggan.

“Arwah ibu buat tiga kerja sehari dengan bekerja di kedai, ambil upah mencuci pinggan dan cuci peralatan memasak pada waktu petang. Semua yang dilakukannya begitu menyentuh hati saya hingga kini.

“Selepas ibu tiada, saya dihantar ke asrama ini dan Alhamdulillah, di sini saya dijaga dengan penuh kasih sayang, malah, saya bertemu ramai rakan yang senasib.

“Saya juga bersyukur kerana ramai yang sudi membantu kami dengan menghulurkan wang sumbangan untuk makan minum serta mendapat tempat tinggal selesa,” katanya.

Sementara itu, pengetua asrama Suhartini Mohamad berkata, seramai 175 penghuni terdiri daripada 72 penghuni perempuan dan 73 penghuni lelaki menerima bantuan wang tunai RM200 untuk membeli pakaian raya.

“Aktiviti ini sudah menjadi rutin kepada asrama kami setiap kali Ramadan dan semua wang yang digunakan adalah hasil bantuan daripada orang ramai termasuk MAIDAM (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu).

“Bagaimanapun, tahun ini kita membuat kelainan dengan memberi peluang anak-anak yatim ini memilih pakaian sendiri dengan wang yang diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 3:10 PM