DUA pegawai kanan polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin dipercayai menerima rasuah untuk melindungi pusat judi.

Sumber berkata, rampasan wang tunai daripada dua suspek yang bertugas di Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman, berjumlah RM1.5 juta.

“Ketika ini, SPRM sedang melakukan siasatan lanjut. Mereka direman selama empat hari bermula semalam.

“Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 2009,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu, namun enggan mengulas lanjut.

Kelmarin, dua pegawai itu ditahan SPRM di sebuah bengkel kereta di Subang Jaya.

Pegawai yang berkhidmat dengan STAGG Bukit Aman itu masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Asisten Superintendan.

Berita berkaitan

SPRM 'angkut' dua pegawai kanan STAGG

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 7:04 PM