Adie Suri Zulkefli


KERAJAAN sedang berusaha untuk menyelesaikan isu pelantikan Peguam Negara berikutan penolakan Istana Negara terhadap cadangannya melantik peguam veteran, Tommy Thomas.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu.

“Saya tak boleh ulas panjang kerana usaha masih dijalankan,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Kedah, hari ini.

Ditanya sama ada penolakan Thomas adalah kerana peguam itu menyokong gerakan sekular, Dr Mahathir berkata: “Tak ada kenyataan seperti itu (oleh pihak Istana Negara).”

Dr Mahathir juga menolak anggapan Thomas tidak boleh dilantik kerana pernah menjadi peguam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerana sebagai peguam, beliau boleh mengambil kes pembelaan sesiapa pun.

“Kita buat sesuatu keputusan ikut undang-undang dan perlembagaan kita, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri, kita pegang kepada prinsip itu,” katanya.

Ditanya mengenai janji manifesto Pakatan Harapan yang membahagikan antara jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Perdana Menteri berkata, ada cadangan seperti itu tetapi perkara berkenaan belum diputuskan.

Perdana Menteri diminta mengulas isu pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang kini diarah bercuti sebulan, bagaimanapun Istana Negara dilaporkan menolak cadangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 11:48 PM
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Bernama