LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Rizanizam Abdul Hamid dan Fazrik Kamarudin


KERAJAAN tidak mahu isu pelantikan Peguam Negara (AG) yang baharu, Tommy Thomas menjadi 'krisis perlembagaan' antara Pakatan Harapan (PH) dengan Raja-Raja Melayu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan kedua-dua pihak.

"Saya dimaklumkan ada mesyuarat Majlis Raja-Raja dan itu mungkin boleh membantu dari segi menyelesaikan kelewatan perkara apa yang hendak diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Bagi pihak jemaah menteri kami memberi sokongan yang padu kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya pada sidang media selepas melakukan kunjungan rasmi dan sesi taklimat di

Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Muhyiddin mengulas isu pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang kini diarah bercuti.

Bagaimanapun Istana Negara dilaporkan menolak cadangan itu.

Beberapa portal berita turut menyebut Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menolak calon yang dicadangkan kerajaan pusat itu kerana bukan Melayu dan tidak beragama Islam.

Muhyiddin berkata, penyelesaian isu AG baharu adalah salah satu langkah yang amat penting untuk menentukan proses penguatkuasaan undang-undang dan lain-lain dapat dilaksanakan.

"Kita tahu di depan kita ada pelbagai isu dan masalah besar, jadi kalau itu (isu AG) dapat diatasi dengan sebaik-baiknya bersandarkan kepada pertimbangan yang bijaksana mengikut peruntukan yang ada dalam perlembagaan negara, maka saya tak fikir ia akan jadi satu isu yang berlarutan.

"Saya tak mahu menjangkakan ia (isu pelantikan AG baharu) menjadi satu krisis (perlembagaan) yang berlarutan," katanya.

Berita berkaitan

Usaha selesai pelantikan Peguam Negara - PM [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 12:37 PM