Zuhainy Zulkiffli


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan plastik di negara ini berikutan ia menyebabkan banyak masalah alam sekitar dan kemusnahan ekologi.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, gesaan terbabit juga adalah selaras dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2018 dengan tema 'Banteras Pencemaran Plastik', selain menyedari tabiat pengguna yang gemar menggunakan banyak plastik ketika membeli makanan dan barangan.

Beliau berkata, Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA) sebelum ini melaporkan rakyat Malaysia menggunakan purata sembilan billion beg plastik setiap tahun.

"Kira-kira 50 peratus barangan plastik direka bagi digunakan sekali sahaja malah bahan plastik seperti beg, penyedut minuman, botol air, pengacau air, pisau, sudu, garpu dan uncang adalah menyumbang separuh daripada sisa plastik di dunia

"Penggunaan botol air atau cawan plastik juga tidak dapat dielakkan dalam pelbagai acara termasuk majlis awam dan kerajaan, mesyuarat, perayaan, majlis keraian dan sebagainya selain mudah diperoleh di pasar dan pasar raya," katanya pada sidang media di Pejabat CAP, Georgetown, hari ini.

Menurut Mohamed Idris, beberapa negara sudah mengharamkan atau mengenakan cukai ke atas penggunaannya, malah 15 negara Afrika termasuk Kenya, Mali, Cameroon, Tanzania, Uganda, Ethiopia, Malawi, Morocco, Afrika Selatan, Rwanda dan Botrwana juga mengambil serius masalah penggunaan plastik.

Katanya, beberapa negara Asia seperti China, Bangladesh, Kemboja, Hong Kong, India, Indonesia dan Taiwan juga mengharamkan penggunaan beg plastik nipis, dan peruncit dikehendaki mengenakan cukai ke atas beg plastik yang lebih tebal.

"Kebanyakan sisa penyedut minuman berakhir di lautan sekali gus mencemarkan dan membunuh hidupan laut, misalnya di Amerika Syarikat sahaja menggunakan 500 juta penyedut minuman setiap hari dan kita boleh bayangkan jumlah sisa berkenaan di negara lain di dunia.

"Penyelidik Belanda pula mendapati hidupan di Laut Utara (North Sea) terjejas teruk dan dilaporkan bahawa bilangan burung camar menelan begitu banyak plastik sehingga purata 30 keping plastik boleh ditemui dalam usus seekor burung camar, malah beberapa kajian mendedahkan anak burung Albatross mati akibat diberi makan plastik oleh ibu mereka yang menganggapnya sebagai makanan," katanya.

Sehubungan itu, CAP akan menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung perkara berkenaan supaya perkara ini diberi penekanan segera.

"Ia selaras dengan pengumuman pada Mei lalu oleh menterinya, Zuraida Kamaruddin, yang mahu mengharamkan penggunaan beg plastik di negara ini dalam tempoh setahun dan selepas itu perlu diikuti dengan pengharaman produk pakai buang guna sekali lain termasuk mikroplastik," katanya.

Menurut perangkaan global, lima trilion beg plastik digunakan setiap tahun, 13 tan plastik memasuki lautan dan satu juta botol plastik dibeli setiap minit.

Manakala, 100,000 hidupan laut terbunuh setiap tahun akibat plastik, 90 peratus air botol didapati mengandungi partikel plastik dan dianggarkan 71 peratus burung laut dan 30 peratus penyu ditemui dengan plastik di dalam usus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 6:37 PM
SM Mohamed Idris ketika sidang media di Georgetown. FOTO Mikail Ong.