MOHAMMAD Nazrun. FOTO Ihsan Pembaca. Gambar kecil (keadaan kenderaan dinaiki mangsa).
Amirul Aiman Hamsuddin


SEORANG ibu tidak menyangka akan kehilangan seorang daripada anak kembar dalam kemalangan jalan raya kira-kira seminggu sebelum menyambut Aidilfitri.

Pada kejadian petang semalam, Mohammad Nazrun Djaafar, 20, yang juga penumpang hadapan Proton Waja, meninggal dunia selepas kereta itu dirempuh lori tangki di Kilometer (KM) 45, Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, dekat Sabak Bernam.

Ketika kejadian, Mohammad Nazrun keluar bersama-sama kembarnya, Mohammad Nazrin dan mereka dikatakan dalam perjalanan ke Sungai Besar untuk membeli tayar motosikal.

Bagaimanapun, Mohammad Nazrin yang memandu kereta itu patah kaki kanan.

Fatimah Taib, 56, berkata, dia tidak menyangka menyangka perjalanan arwah bersama kembarnya berakhir dengan tragedi

"Malah, seluruh badan menggeletar lemah dan terasa dunia melayang seketika apabila mengetahui arwah menghembuskan nafas terakhir di lokasi kemalangan," katanya.

Fatimah ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tebuk Mufrad, hari ini, berkata, ketika kejadian, beliau berada di dapur bagi menyiapkan juadah berbuka puasa, manakala suaminya Djaafar Nendut, 62, berada di luar rumah.

"Ketika menguruskan dapur, saya menerima panggilan dari anak perempuan mengatakan pasangan kembar terbabit dalam kemalangan sekitar Panchang Bedena.

"Pada mulanya, saya fikir mereka cuma mengalami cedera ringan. Tetapi, kuasa Tuhan menentukan segalanya apabila arwah meninggalkan kami sekeluarga buat selamanya," katanya.


DJAAFAR melihat baju raya Mohammad Nazrun. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Fatimah berkata, sebelum pasangan kembar itu keluar ke Sungai Besar bagi membeli barangan motosikal, dia sempat berbual mengenai juadah berbuka dan beliau memaklumkan akan memasak sambal ikan tilipia.

"Itu kali terakhir saya bertemu arwah sebelum mendapat berita kemalangan yang menimpa arwah," katanya.

Sementara itu, Djaafar berkata, arwah yang juga anak keenam dari lapan beradik itu seorang yang pendiam selain berbakat dalam membaiki motosikal.

"Sepanjang hayatnya, dia kerap membantu penduduk kampung dengan mengambil upah membaiki motosikal milik mereka.

“Arwah pernah menyuarakan hasrat membuka bengkel motosikal di kediaman saya sehinggakan ada ketika, arwah banyak menghabiskan masa dengan mengubahsuai motosikal," katanya.

Katanya, sambutan Aidilfitri kali ini juga lebih sederhana berikutan keluarganya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

"Allah 'ambil' arwah seminggu sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri dan ia ibarat peluru yang menyasar tepat pada jantung.

“Saya sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan dalam masa sama berharap kembar arwah (Mohammad Nazrin) segera sembuh dari kecederaan yang dialami," katanya.

Jenazah Mohammad Nazrun dibawa ke Masjid Kampung Tebuk Mufrad untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Mufrad, pada jam 10.30 malam semalam, manakala Mohammad Nazrin pula kini dirawat di Hospital Teluk Intan dan akan menjalani rawatan susulan.

Berita berkaitan

Malang si kembar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 4:46 PM