Azura Abas; Syed Umar Ariff; Irwan Shafrizan Ismail dan Zanariah Abd Mutalib

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bebas sama ada untuk menyokong atau membangkang kerajaan pimpinan beliau.

Perdana Menteri berkata, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO ada menghubungi beliau, kelmarin dan menyatakan mahu bertemu bagi memberi sokongan kepada kerajaan baharu.

“Sudah tentu beliau berminat untuk menyokong kerajaan. (Bagaimanapun) beliau dialu-alukan untuk menyokong kerajaan, beliau juga dialu-alukan untuk membangkang kerajaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sebelum itu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan di Putrajaya.

Ditanya sama ada kehadiran Ahmad Zahid itu atas kapasiti Pemangku Presiden UMNO atau Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dr Mahathir berkata, ia lebih kepada sebagai Pemangku Presiden.

Kelmarin, Ahmad Zahid memuat naik gambar beliau bertemu dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, melalui laman Instagram miliknya.

Difahamkan, pertemuan itu berlangsung selama kira-kira 15 minit sebelum Perdana Menteri Dr Mahathir beredar dari YKP menuju Kementerian Kewangan untuk mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 3:37 PM