Nadia Hamid dan Veena Babulal
cnews@nstp.com.my

DATUK Seri Najib Razak menggesa kerajaan mendedahkan laporan impak ekonomi dan kajian kebolehlaksanaan bagi semua projek manfaat rakyat sebagai dokumen terbuka yang boleh diakses rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata ia susulan tindakan kerajaan cuba membatalkan projek yang dirangka ketika sembilan tahun era pentadbiran beliau walhal, kemudahan untuk rakyat lebih penting daripada menghapuskan legasi atau menghukum negeri pembangkang.

Beliau berkata, dalam tempoh dua minggu kerajaan sudah membatalkan projek Keretapi Laju Kuala Lumpur Singapura (HSR) dan MRT3 yang didakwa mengambil masa bertahun-tahun yang menunjukkan manfaat ekonomi melampaui kos pembinaannya.

Katanya, ia termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sangat diperlukan bagi pembangunan jajaran Pantai Timur iaitu Fasa 1, laluan Gombak ke Kota Bahru sudah melepasi status siap 20 peratus dan pembatalannya menyebabkan kerugian kos RM22 bilion.

“Kerajaan PH tetap mahu membatalkannya atau menangguhkan projek ini. Tidakkah sesiapa sedar yang tiga negeri bakal menerima manfaat paling banyak daripada ECRL ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, adalah negeri yang bukan di bawah kerajaan.

“Menjadi hak mereka (kerajaan) untuk memadamkan legasi saya atau menghukum negeri pembangkang dengan membatalkan projek bermanfaat untuk rakyat namun saya menggesa kerajaan hari ini, jika mahu membuat pembatalan projek bermanfaat kepada rakyat ini, lakukan melalui cara telus dan penelitian terperinci dengan mendapatkan pendapat rakyat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Najib turut memetik laporan media antarabangsa dua hari lalu yang menyebut kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengarahkan kesemua poster dan papan tanda dengan slogan ‘1Malaysia’ diturunkan manakala perpustakaan kerajaan diminta tidak meletakkan buku atau sejarah membabitkan Najib.

Najib mendakwa beliau ketika memegang jawatan Perdana Menteri telah memastikan kesemua negeri, tidak kira negeri di bawah pembangkang sekalipun, menerima pembangunan infrastruktur asas untuk manfaat rakyat.

“Sebab itu, kerajaan persekutuan pada ketika pentadbiran saya telah menyalurkan berpuluh bilion Ringgit bagi membantu penstrukturan bekalan air di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

“Kelantan yang agak ketinggalan daripada segi pembangunan berbanding negeri lain menerima lebih banyak dana pembangunan bagi manfaat rakyat dan projek menaik taraf lebuh raya, bekalan air dan infrastruktur pembetungan termasuk Lebuhraya CSR tidak dikenakan tol di mana sebahagian besarnya sudah dibuka kepada pengguna.

“Adakah ini satu kesinambungan daripada amalan menghukum negeri pembangkang sebagaimana dilakukan Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun apabila Kelantan dinafikan kemudahan asas rakyat seperti lebuh raya, jalan raya, bekalan air dan pembangunan infrastruktur pembetungan?” katanya.

Najib turut mendakwa beberapa projek seperti Bangunan Exchange (TRX), yang lebih tinggi dari bangunan berkembar KLCC, terlepas pembatalan berikutan pembinaannya semakin hampir siap.

“Projek infrastruktur awam yang memanfaatkan berpuluh juta rakyat seperti sambungan LRT1 dan LRT2, KLIA2, jambatan kedua Pulau Pinang, MRT1 & MRT2, puluhan UTC, RTC, Lebuhraya Pan Borneo, Central Spine Road (CSR) dan projek yang sudah disiapkan atau pada peringkat terakhir untuk siap bernasib baik tidak dibatalkan.

“Jika tidak, kerajaan Pakatan mungkin akan turut membatalkan projek rakyat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 4:57 PM