FOTO Hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh lori tangki di Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, Sungai Besar, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 3 pagi berhampiran Panchang Bedena itu, mangsa, Muhamad Azizil Alim Samuri, 24, yang menunggang Yamaha 125Z disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Rakannya, Muhamad Amri Saharudin, 21, yang menunggang motosikal jenis sama parah pada bahagian kepala manakala pemandu lori berusia 46 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dan pemandu lori dari arah Sekinchan menuju ke Sabak Bernam.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, jalan yang sebelumnya ditutup menjadi satu lorong dibuka kepada dua lorong dan pemandu lori memberi tanda isyarat menukar laluan masuk ke lorong kiri.

“Bagaimanapun, kedua-dua penunggang motosikal itu disyaki cuba memotong dari kiri lori sebelum hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang lori itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Menurutnya, Muhamad Amri yang pada awalnya dibawa ke HTAJ dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan koma.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 9:12 PM