LEMANG periuk kera. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
Ainal Marhaton Abd Ghani


LEMANG periuk kera kini semakin popular dan menjadi pilihan sebagai menu istimewa di pagi Syawal.

Biarpun pelbagai juadah istimewa Aidilfitri seperti lemang, ketupat, nasi impit, nasi minyak, lemang yang dimasak dalam kelongsong periuk kera pasti mencuri tumpuan tetamu yang berkunjung ke rumah.

Begitupun, bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan bekalan kelongsong periuk kera terutama di musim perayaan kerana permintaan sering kali melebihi penawaran.

Bagi suri rumah, Latipah Abdullah, 41, pengalaman sebagai peniaga lemang periuk kera setahun lalu sehingga tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan membuatkannya menukar strategi menjadi pembekal kelongsong (periuk kera) sahaja.

Sejak awal Ramadan lagi, dia sudah menerima permintaan menempah lemang periuk kera yang siap dimasak tetapi terpaksa menolaknya.

"Justeru, untuk tahun kedua saya tukar strategi dengan menyediakan kelongsong sahaja untuk dijual kerana lebih mudah dan menjimatkan masa.

"Alhamdulillah, saya menerima tempahan sehingga 20,000 biji kelongsong periuk kera termasuk pelanggan dari Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Melaka, Kelantan dan Terengganu selepas saya memuat naik status sebagai pembekal di laman sosial facebook bermula awal Ramadan lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Sungai Panching Selatan, dekat Kuantan.

Latipah yang dibantu suami, Ramli Hanifiah,51, juga berkata, seminggu sebelum Aidilfitri dia sudah menutup tempahan bagi memudahkan pengeposan dilakukan untuk pelanggan di luar daerah bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini seperti kiriman lambat tiba atau kelongsong rosak.

"Saya banyak terima tempahan kelongsong daripada pelanggan yang mahu jadikan lemang periuk kera sebagai juadah istimewa di pagi Syawal dan hidangan di majlis rumah terbuka selepas itu.

"Ada kalangan pelanggan mahukan lemang periuk kera yang siap dimasak tetapi saya tidak mahu ambil risiko membuat penghantaran kecuali yang menempah awal dan ambil sendiri di rumah saya," katanya.

Untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi, Latipah menggunakan khidmat penduduk kampung dan Orang Asli untuk mencari kelongsong itu di sekitar hutan di Gambang dan Muadzam Shah, Rompin.

"Beberapa kawasan hutan di kedua-dua kawasan ini sesuai dengan habitat tumbuhan periuk kera menyebabkan saya mampu memenuhi permintaan pelanggan yang ada antaranya menempah dalam jumlah yang besar." katanya.

LATIPAH menunjukkan kelongsong periuk kera. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani

Latipah berkata, kelongsong periuk keraitu dijual pada harga antara 30 dan 40 sen sebiji bergantung pada jumlah permintaan pelanggan dan dikenakan bayaran penghantaran bergantung pada jenis perkhidmatan pengeposan digunakan.

"Bagi tempahan melebihi 1,500 biji pula saya tidak mengenakan sebarang kos penghantaran.

Bagaimanapun, bagi pelanggan sekitar Kuantan, mereka akan datang ke rumah untuk menjimatkan kos," katanya.

Latipah berkata, kaedah penyimpanan kelongsong periuk kera penting untuk dititikberatkan untuk mengekalkan kualiti dan bertahan lama sehingga 10 hari selepas dikutip.

"Kelongsong tidak boleh disimpan tempat terdedah kepada cahaya matahari dan tempat panas kerana mudah rapuh dan pecah sebaliknya perlukan tempat gelap dan lembab, bersesuaian seperti habitatnya di hutan sebelum di kutip.

"Kelongsong berbentuk bujur atau bulat yang segar dan tidak berlubang amat sesuai digunakan untuk membuat lemang," katanya.

Beliau berkata, permintaan lemang periuk kera kini mampu mengatasi permintaan lemang menggunakan buluh kerana teksturnya yang lebih lembut dan berlemak selepas dimasak.

"Penghasilan lemang periuk kera juga tidak begitu rumit kerana hanya memerlukan beras pulut, santan pekat dan garam selain gula bagi yang ingin mendapatkan sedikit rasa manis dan ia hanya dikukus berbanding lemang buluh yang dibakar.

"Beras pulut direndam antara satu hingga dua jam untuk melembutkannya sebelum dimasukkan dalam kelongsong yang kemudian dicurahkan santan yang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 10:18 AM