“SAYA terpaku apabila melihat mayat menantu tersepit di tempat duduk pemandu sebaik tiba di lokasi kejadian dan lebih memilukan apabila cucu lelaki turut pergi bersama ayahnya.”

Begitu kata Md Isa Md Piah, 62, bapa mentua kepada Noor Azizi Kamarudin, 34, yang maut bersama anaknya Mohd Ammar, 4, dalam kemalangan di Jalan Baru Kupang-Grik berdekatan Kampung Tiak, Baling, hari ini.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, Noor Azizi yang memandu Toyota Vios dan anaknya yang duduk di tempat duduk penumpang depan maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal.

Md Isa berkata, sebelum kejadian menantunya menelefon isterinya pada 12 tengah hari memaklumkan mereka sekeluarga sudah tiba di Gerik, Perak dan akan tiba di Kampung Gua Reban, Kupang, Baling, tidak lama lagi.

Menurutnya, dia dan isterinya menunggu mereka sekeluarga, namun sehingga 2 petang masih tidak tiba sedangkan jarak antara Gerik dengan Kupang tidak jauh.

“Namun sebaik pulang menunaikan solat Zohor, saya menerima panggilan telefon daripada anak (Noor Hafizah Md Isa, 33) memberitahu kereta mereka terbabit dalam kemalangan dekat Kampung Tiak.

“Anak saya juga memberitahu suami dan anak lelakinya meninggal dunia di tempat kejadian, dan saya yang terkejut terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Patutlah kami semua tunggu menantu sekeluarga tidak sampai, rupa-rupanya dia dan anaknya pergi dulu tanpa sempat berhari raya,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.

Katanya, anak perempuannya tidak cedera, namun seorang lagi cucu Noor Ameera, 2, parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

“Mereka sepatutnya pulang berhari raya di rumah saya di Kupang, esok tetapi menukarnya ke hari ini.

“Biarpun sedih dengan apa yang berlaku, namun saya dan keluarga reda kerana ini semua sudah ditentukan Allah,” katanya.

Berita berkaitan

Tragedi pilu menjelang 1 Syawal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 8:26 PM