FOTO Hiasan
Poliana Ronnie Sidom


WANITA warga emas ditemui rentung selepas sebuah rumah terbakar di Jalan Kalanahan Rimba, Kampung Bambangan, di Papar, malam tadi.

Mangsa, Jauya Udin, 77, ditemui di bahagian ruang tamu rumah oleh anggota bomba dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.49 malam.

Beliau berkata, susulan itu, dua jentera dan 15 anggota ke lokasi terbabit yang terletak empat kilometer dari balai.

Katanya, sebaik tiba, bomba mendapati rumah jenis tidak kekal itu sudah musnah sepenuhnya.

"Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran bagi memastikan api padam sepenuhnya dan kawasan itu selamat.

"Kita kemudian menemui mayat yang rentung. Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 9:32 AM