Syalikha Sazili dan Esther Landau


SYARIKAT Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) mengesahkan laporan bedah siasat kematian Nazrin Hassan, 47, berpunca daripada letupan telefon pintar.

Hasil siasatan mendapati tubuh mangsa mempunyai pelbagai komplikasi kecederaan akibat letupan gajet itu yang dicas bersebelahannya.

Mangsa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu dikatakan berkhidmat dengan syarikat itu sejak 15 tahun lalu.

“Syarikat Cradle kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa besar, berinovatif dan sifat merendah dirinya memberi cetusan inspirasi kepada kami.

“Visi dan cita-citanya untuk berinovasi menjadi nadi kepada syarikat. Nazrin mempunyai minat yang tinggi terhadap pekerjaan ini, namun beliau juga tidak lupa dan sering mengutamakan isteri dan anak-anaknya.

“Bagaimanapun, pelbagai spekulasi terhadap kematiannya, justeru kami harap orang ramai menghormati keluarganya pada waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Operasi Cradle, Razif Aziz berkata, kematian Nazrin satu kehilangan besar terhadap syarikat dan dunia teknologi kerana beliau seorang yang cukup pintar, berwawasan dan juga individu luar biasa.

“Mereka yang berpeluang bekerja dengannya (Nazrin), kehilangan seorang kawan dan mentor kerana beliau adalah cetusan inspirasi,” katanya.

Ketua Pegawai Pelaburan Cradle Juliana Jan pula berkata, pihaknya terkejut dengan berita kematian itu dan pengalamannya bekerja bersama Nazrin tidak mungkin dilupakan.

“Beliau mempunyai visi dan semangat luar biasa yang bukan saja menjadi pemangkin kepada syarikat Cradle, tetapi juga permulaan terhadap ekosistem.

“Sebagai individu, beliau berjaya menyentuh jiwa dan memberi inspirasi terhadap kami termasuk pelabur dan rakan niaga syarikat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Radiologi Hospital Pusrawi Jalan Tun Razak Dr Nafikudin Mahmud berkata, alat elektronik yang menggunakan tenaga bateri kering mudah panas dan berisiko untuk rosak.

Katanya lebih buruk lagi sekiranya pengguna membeli barangan elektrik tidak berkualiti maka ia hanya akan mengundang padah.

“Aktiviti mengecas telefon pintar tampak normal, namun pengguna perlu prihatin dan teliti dengan barangan elektrik.

“Sekiranya telefon pintar anda panas, elakkan daripada terus mengecas. Kita khuatir ia akan terbakar atau meletup.

“Justeru, caj telefon pintar di tempat terbuka dan hindarkan dari meletakkan bersebelahan barang mudah terbakar,” katanya.

Berita berkaitan

Bomba ambil telefon bimbit mangsa

'Telefon meletup masa dicas..'

CEO maut dalam rumah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 6:05 PM