FOTO Hiasan
Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


WANITA maut dalam kemalangan akibat terbabas sendiri di kilometer 11, Jalan Beluran, berdekatan Kampung Balaban, Beluran, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, penumpang Warda Faisal, 29, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Manakala lima lagi; Azman Tahal, 23, adik lelakinya, Azmir, 22, Nurul Kiki Natasha Azmi, 20, Norafizah Pineh, 11 dan seorang budak perempuan berusia enam tahun, Zafirah Saiful Bahri, turut parah.

Difahamkan, enam sekeluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Sandakan selepas berhari raya di Beluran.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan V. Shivanantanan berkata, siasat awal mendapati Perodua Kancil dinaiki semua mangsa terbabas ke kanan jalan dan melanggar tebing konkrit lalu terbalik beberapa kali.

"Sejurus itu, dua penumpang tercampak keluar dari kereta tersebut. Akibatnya, seorang wanita meninggal dunia, manakala lima lagi parah termasuk pemandu lelaki." katanya ketika dihubungi.

Shivananthan berkata, mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Beluran, manakala mangsa parah dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk rawatan lanjut.

"Kemalangan mengakibatkan kenderaan berkenaan turut remuk teruk.

"Siasatan turut mendapati, punca kemalangan dipercayai pemandu memandu dengan laju dan gagal mengawal kenderaan dengan baik." katanya.

Shivananthan berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 8:59 AM