DILDAAR (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan dalam program Ziarah Kasih, tahun lalu.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Manfaatkan minat terhadap motosikal berkuasa tinggi untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.

Itu antara aktiviti dilaksanakan Kelab ERSix Bikerz Malaysia (KEBM) yang aktif menjalankan aktiviti sukarelawan dan khidmat masyarakat kepada mereka yang kurang berkemampuan sejak penubuhannya pada 2015.

Presiden KEBM Dildaar Mohammad Basir berkata, aktiviti khidmat masyarakat terbabit dilaksanakan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan bantuan terutama anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan asnaf.

Katanya, ia bertujuan memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan pemilik motosikal model Kawasaki ER6N dan ER6F di negara ini untuk menjalankan kerja amal di samping memanfaatkan minat mereka bagi perkara berfaedah.

“Konvoi amal ini dilaksanakan bagi mengumpul dana dan kami akan melakukan konvoi berkumpulan untuk menyerahkan bantuan seperti keperluan asas atau kewangan kepada mereka yang memerlukan.

“Antara aktiviti dilaksanakan sejak penubuhannya adalah Program Ziarah Kasih dan Agihan Bubur Lambuk yang dilaksanakan di Ampangan, Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seremban, Pertubuhan Sukarelawan Ampangan, Gabungan Waghih Negeri Sembilan dan artis tempatan seperti Achey, Ebby Yus serta Normah Damanhuri.

“Menerusi Program Ziarah Kasih, kami melawat ke rumah asnaf, OKU, anak yatim dan pesakit kronik di sekitar daerah berkenaan bagi menyampaikan sumbangan untuk meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri.

“Kami turut mengadakan gotong-royong bagi memasak bubur lambuk.

“Sebanyak 2,500 bungkus bubur lambuk diagihkan sebagai juadah berbuka puasa kepada masyarakat setempat dan pasukan keselamatan terutama pegawai serta anggota polis yang bertugas mengawal lalu lintas,” katanya.

Menurutnya, KEBM mempunyai ahli berdaftar hampir 200 orang.

Menurutnya, pihaknya turut melaksanakan Konvoi Jelajah Merdeka bagi menyemarakkan semangat kecintaan kepada negara dengan menjelajah Semenanjung Malaysia dan mengibarkan Jalur Gemilang pada 2016.

“Menerusi program itu, kami menjelajah ke setiap negeri selama seminggu dengan pelbagai pengisian aktiviti bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan termasuk mengagih serta memasang Jalur Gemilang pada kenderaan awam serta aktiviti sukaneka dengan kerjasama beberapa sekolah,” katanya.

Dildaar berkata, program itu dapat membantu ahli kelab mendekati masyarakat kurang bernasib baik dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Katanya, aktiviti terbabit dapat mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap penunggang motosikal berkuasa tinggi yang kerap dikaitkan dengan aktiviti sosial tidak berfaedah.

“Daripada menghabiskan masa, tenaga dan wang dengan menunggang motosikal beramai-ramai ke destinasi tidak berfaedah, lebih baik kami gunakan peluang ini untuk berbakti kepada masyarakat.

“Saya bersama ahli kelab gembira dapat membantu meringankan beban masyarakat kurang bernasib baik dan berbakti kepada negara.

“Pelbagai program dan aktiviti khidmat kemasyarakatan dirancang serta dilaksanakan pada masa akan datang bagi memastikan KEBM terus mencurahkan bakti kepada negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 11:50 AM