MANGSA menerima rawatan di hospital. FOTO Rosliza Mohamed
Rosliza Mohamed
cnews@nstp.com.my


Keseronokan menyambut Aidilfitri bertukar tragedi apabila murid Tahun Dua cedera pada muka dan mata akibat disambar belerang daripada mercun bola yang dibakarnya di Kampung Badang, Kota Bharu, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, ketika Abdullah Fahmi Mohd Fadzil, 8, dikatakan bermain mercun di rumah datuknya bersama rakan dan sepupunya.

Mangsa dipercayai mencucuh api ke kertas mengandungi serbuk belerang yang diambil dari mercun bola dan secara tiba-tiba menyambar mukanya.

Akibatnya, kedua-dua mata dan muka serta ibu jari tangan kanan mangsa cedera.

Ibunya, Wan Norliha Wan Mohamed, 38, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah sebelum dikejutkan dengan panggilan adiknya yang menyuruhnya ke hospital dengan segera kerana anak bongsunya daripada lima beradik terkena mercun.

“Saya difahamkan dia mengubahsuai mercun ini dengan mengeluarkan belerang daripada mercun bola dan meletakkan di atas kertas.

“Ketika mencucuh api ke belerang itu, api menyambar mukanya dan jari tangan kanan,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, ahli keluarga yang lain menyedari kejadian itu selepas anaknya menangis akibat pedih di mata sebelum membawanya ke hospital.

Katanya, doktor yang merawatnya memberitahu api menyambar kedua-dua mata tetapi mata sebelah kiri agak serius kecederaannya.

“Saya bersyukur kerana matanya tidak buta, namun doktor masih menjalankan rawatan lanjut.

“Malam tadi semasa hendak tidur dia ada mengadu pedih dan terpaksa diberikan ubat penahan sakit,” katanya.

Wan Norliha juga ingin berkongsi dan berharap ibu bapa di luar sana memantau pergerakan anak-anak pada musim perayaan ini agar perkara sama tidak berulang.

Ini adalah mangsa ketiga mercun berlaku di negeri ini sejak Ramadan lalu hingga sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 7:26 PM