ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran lori tangki yang menyebabkan pemandunya rentung dalam kemalangan di Jalan Tambunan-Kota Kinabalu, Tambunan, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran lori tangki yang menyebabkan pemandunya rentung dalam kemalangan di Jalan Tambunan-Kota Kinabalu, Tambunan, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Suzianah Jiffar


LELAKI ditemui rentung selepas lori tangki membawa muatan diesel terbakar dalam kemalangan di Jalan Tambunan-Kota Kinabalu, Tambunan, petang hari ini.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, identiti lelaki dewasa yang juga pemandu lori tangki itu tidak diperoleh kerana dompet mangsa dipercayai turut terbakar.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.31 petang.

“Sejurus menerima panggilan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan dengan diketuai Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Desmond Ak Micky @ Dominic bersama tiga jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 17 kilometer dari balai.

“Kebakaran membabitkan lori tangki yang membawa muatan diesel terbakar 60 peratus.

“Seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu dan rentung ditemui pasukan bomba semasa pemadaman api dijalankan.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi tamat pada 5.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 9:37 PM