Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AGENSI Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kuala Perlis sudah menghantar bot peninjau untuk memeriksa keadaan feri yang tersangkut selepas terlanggar beting pasir di perairan Kuala Perlis, malam tadi.

Jurucakap APMM Kuala Perlis berkata, pihaknya kini masih menunggu arahan daripada pihak atasan bagi memberikan bantuan.

"Setakat ini kami hanya diarahkan untuk menghantar bot peninjau bagi memerhatikan keadaan feri yang tersangkut.

"Bagaimanapun selepas pemerhatian dilakukan, didapati bahagian bawah feri tersangkut dan feri terbabit hanya perlu menunggu air pasang bagi membolehkan ia berlayar semula," katanya.

Sementara itu, penumpang, Fauzi Kamaruzaman, 26, berkata, kejadian itu kali pertama berlaku kepada dirinya.

"Saya datang melancong ke Langkawi bersama seorang lagi rakan dari Johor sejak tiga hari yang lalu.

"Bagaimanapun hari ini saya dan rakan ingin pulang memandangkan esok sudah mula bekerja, tapi tidak sangka musibah begini yang terjadi," katanya.

Menceritakan detik-detik berlakunya kejadian itu, Fauzi berkata, pada awalnya tiada siapa yang menyangka bahawa feri itu tersangkut di tengah perairan.

"Namun selepas melihat keadaan feri yang berhenti secara tiba-tiba, kami jadi hairan kerana jeti Kuala Perlis masih jauh meskipun ia boleh dilihat dari tingkap feri.

"Lalu seorang kru feri turun ke dek penumpang memaklumkan bahawa feri yang kami naiki tersangkut di dasar lautan akibat fenomena air surut," katanya.

Fauzi berkata, kini dia bersama 400 penumpang lain terpaksa menunggu bantuan tiba dan berharap air pasang secepat mungkin.

"Kami mula tersangkut di tengah perairan ini sejak dari 8.30 malam tadi dan kini menunggu pihak pengurusan feri menghantar bot bantuan.

"Jika diikutkan kami perlu menaiki bas di Perhentian Bas Kuala Perlis pada 10 malam ini, namun terpaksa membeli tiket yang baru esok pagi kerana feri dijangka pulih kira-kira 1 pagi ini," katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan 400 penumpang terkandas di tengah laut apabila feri yang mereka naiki dilaporkan terlanggar beting pasir di perairan Kuala Perlis.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, feri dua tingkat itu berlepas 7 malam dari jeti Kuah, Langkawi menuju ke Kuala Perlis. Langkawi, Kuala Perlis.

Berita berkaitan:

400 terkandas feri langgar beting pasir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 12:57 AM