SALLEHIN bersama rakannya memakai tanjak sewaktu keluar bersama-sama.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: “Mungkin gelagat saya memakai tanjak di tempat awam dianggap pelik kerana kelihatan seperti panglima atau pembesar masyarakat Melayu dulu kala.

“Tapi saya mahu masyarakat Melayu mengangkat tanjak yang menjadi kebanggaan orang Melayu sebagai fesyen menggantikan topi supaya warisan ini tidak hilang ditelan zaman,” kata Sallehin Hussain, 38.

Peminat pakaian tradisional warisan Melayu itu menjadikan tanjak sebagai sebahagian pakaiannya yang turut dipakai ketika melakukan rutin harian.

Minat terhadap tanjak mendorong Sallehin mempelajari cara membuat tanjak serta menggayakannya dengan kaedah yang betul.

Menurutnya, pada mulanya dia mempelajari cara membuat tanjak dengan merujuk video dimuat naik di YouTube dan blog sejak enam tahun lalu.

“Keunikan tanjak yang kebiasaannya dipakai oleh golongan pembesar masyarakat dulu membuatkan saya berminat memakainya.

“Namun untuk mendapatkan maklumat lanjut, saya berhubung dengan seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menjadi tenaga pengajar berkaitan busana Melayu.

“Bermula sejak itu, saya belajar mengenai kaedah simpul, jahitan dan kain digunakan bagi membuat tanjak. Syukur kini saya boleh menghasilkan pelbagai jenis tanjak berkualiti,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Ukay Perdana, Ampang.

Dia memberitahu antara tanjak dihasilkan ialah tanjak balung ayam, tanjak alam Iskandar, tanjak balung raja dan tanjak naga berlabuh.

Jurukamera itu berkata, hasil tangannya turut menarik minat rakan-rakannya selepas dia memuat naik gambar tanjak dihasilkan di Facebook (FB) dan Instagram miliknya.

“Malah, ada yang meminta saya menghasilkan tanjak untuk mereka, jadi dapatlah sedikit wang untuk tampung perbelanjaan keluarga.

“Pada kebiasaannya saya mengambil masa seminggu atau lebih untuk siapkan tanjak yang turut bergantung kepada kelapangan jika tidak ada tugasan lain,” katanya.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia lebih gemar mengekalkan keaslian dalam menghasilkan tanjak bagi menjaga asal-usul seni warisan tradisional masyarakat Melayu.

“Tanjak yang asli asasnya perlu ada simpul, tapak dan gubahan atau karangan. Setiap jenis simpul digunakan itu menunjukkan dari mana si pemakainya berasal.

“Jika menggunakan simpulan ketupat palas, ia menunjukkan si pemakai berasal dari tanah Melayu. Saya cuba mengolah tanjak lama kepada gaya terkini agar sesuai dengan peredaran zaman.

“Selain itu, bagi pemilihan kain, saya utamakan jenis ‘cotton’ yang dicetak corak songket kerana ia lebih lembut dan selesa dipakai berbanding songket asli,” katanya.

Tanjak dihasilkannya dijual pada harga RM75 hingga RM150 bergantung kepada jenis kain dan jika menggunakan songket, kosnya akan meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 1:26 PM