KERJA projek ECRL di Tunjong, Kelantan, Mac lalu. FOTO arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid


KERAJAAN akan meneruskan projek pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) selepas perbincangan semula mengenai kosnya diputuskan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, turut disemak semula adalah berhubung penangguhan projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

"Kita sudah bayar RM20 bilion untuk projek ECRL, jadi tak masuk akal untuk kita mansuhkan ia begitu sahaja. Kita akan runding semula," katanya memetik laporan The Malaysian Insight hari ini.

Projek ECRL yang dicadangkan pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mencetuskan kontroversi ekoran kosnya yang mencecah sehingga RM70 bilion.

Laluan sepanjang 688 kilometer (km) itu dijangka akan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pantai Timur melalui Kuantan, Pahang dan Pengkalan Kubor di Kelantan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menolak projek itu sambil menyifatkannya sebagai kontrak 'pelik' kerana negara perlu membiayai projek itu dengan pinjaman dari China, selain mengupah kontraktor dari negara itu.

Sementara itu dalam perkembangan HSR, Guan Eng memberitahu beliau telah mengarahkan peguam negara meneliti aspek perundangan dalam perjanjian kontrak HSR untuk membolehkan perbincangan dengan Singapura.

"Kita sudah semak angka, ada aspek kewangan, kejuruteraan, dan undang-undang. Kami telah kaji kedua-duanya dan kini hanya menunggu aspek perundangan daripada beliau," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, projek HSR hanya ditangguhkan dan bukannya dibatalkan susulan ketidakmampuan ekonomi negara.

Beliau dipetik berkata, kos keseluruhan pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 km dijangka menelan belanja RM110 bilion dan jumlah itu terlalu tinggi kerana kerajaan sedang berusaha mengurangkan hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion.

Perdana Menteri pada 28 Mei lalu kerajaan berkemungkinan perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada Singapura sekiranya membatalkan projek yang dijangka memendekkan masa perjalanan KL-Singapura dalam tempoh 90 minit sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 4:15 PM