Hamzah Osman


KESERONOKAN sekumpulan pelancong warga Sweden mandi laut bertukar tragedi apabila seorang maut disengat obor-obor di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, mangsa, Sohrabi Saeed, 60, maut selepas beberapa minit disengat hidupan marin berbisa itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, anggota polis Balai Polis Ayer Hangat menerima makluman berkaitan kejadian itu pada 3.15 petang daripada orang awam.

Menurutnya, laporan awal diterima menyatakan lelaki warga Sweden maut selepas disengat obor-obor di Pantai Tanjung Rhu, di sini.

"Berikutan itu sepasukan polis diarahkan ke lokasi kejadian untuk menyiasat dan sebaik tiba mendapati kejadian itu benar.

"Siasatan awal mendapati mangsa adalah warga Sweden berusia 60 tahun dan mayatnya kemudian dihantar ke Jabatan ForensikHospital Langkawi untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku.

Difahamkan mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, video berdurasi 21 saat menunjukkan saksi kejadian cuba membantu mangsa dengan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di tempat kejadian tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 7:46 PM
SAKSI kejadian berusaha memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada lelaki maut selepas disengat obor-obor di Pantai Tanjung Rhu. FOTO ihsan Pembaca