ANGGOTA trafik menjalankan pemeriksaan di Lebuhraya Sultan Iskandar dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, pagi semalam.

Kuala Lumpur: Walaupun tidak dibenarkan memasuki jalan tertentu di sekitar ibu kota pada waktu puncak, pemandu lori dikesan masih bersikap keras kepala melakukan kesalahan itu.

Akibatnya, sebanyak 55 saman dikeluarkan terhadap pemandu lori dan 39 daripadanya adalah saman lori waktu terhad dalam Ops Waktu Terhad dijalankan serentak di Lebuhraya Sultan Iskandar dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban bermula jam 6.45 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kehadiran kenderaan berat di jalan utama sekitar ibu kota meningkatkan risiko kemalangan.

“Operasi dijalankan serentak di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar dan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban juga menghala ke pusat bandar. Dalam operasi ini kami mengeluarkan 55 Saman Pol 257 membabitkan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dikenalpasti adalah tiada lesen memandu (5), tiada Lesen Kenderaan Perdagangan (8), nombor pendaftaran kabur (3), lesen kenderaan tamat tempoh (2), lesen memandu tamat tempoh (1), tiada pemadam api (9) dan kesalahan melanggar peraturan waktu terhad sebanyak 39 saman,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, kenderaan berat seperti lori tidak dibenarkan masuk ke pusat bandar pada waktu tertentu terutama waktu puncak ketika kenderaan awam seperti kereta dan motosikal bertambah.

“Bagi Lebuhraya Sultan Iskandar, waktu terhad bagi lebuhraya ini dari jam 6.30 pagi hingga jam 9.30 pagi manakala bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban bermula jam 7.30 pagi hingga jam 9.30
pagi.

“Walaupun kita melakukan operasi hampir setiap hari, pemandu lori ini masih tidak serik untuk menggunakan jalan berkenaan dan masuk ke pusat bandar.

“Kehadiran kenderaan berat pada waktu puncak berbahaya kepada pengguna jalan raya lain kerana pertambahan bilangan kenderaan pada waktu berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 4:49 AM